Isnin, 4 Julai 2022

Maaf! Lama tak update blog.

 Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Mula-mula sekali, aku nak mohon maaf dari hujung rambut sampai la ke hujung kaki. Hampir 2 tahun lamanya aku tak update blog aku ni. Aku jadi malas nak update blog sebab aku tertanya-tanya, masih ada lagi ke yang nak baca blog. Zaman dah berubah, sekarang semua mula guna Facebook, Instagram, Youtube, TikTok dan macam-macam lagi. Blog dah tak glamour macam dulu lagi dah.

Walau pun blog dah tak glamour, bermula tahun 2022 ni, aku ingat aku nak terus update blog aku nih dan aku na buat pengumuman sedikit lah. Diari Pancingku sudah pun ada Youtube Channel dan juga FB Page. 

Youtube Channel: Diari Pancingku - YouTube 

FB Page: Diari Pancingku | Facebook

Jadi jangan lupa follow aku di FB atau subscribe di Youtube.

Rasanya sampai di sini sahaja 'post' aku ini sebagai pembuka sebagai tanda yang aku kembali update blog aku.

Salam Strike!!!

Isnin, 4 Februari 2019

Dapat jugak naikkan ikan bulan sekor

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Sejak hari Sabtu lagi aku cuba naikkan ikan bulan tapi gagal. Dapat puyu jer sekor. Sorry, aku tak ambik pun gambar puyu tu sebab tak bawak handphone.

Petang semalam (Ahad) pun ada turun jugak. Walau pun banyak strike, tapi macam biasa la, asyik rabut jer.  Ada satu kali tu, dah sampai tepi dah, tak sempat jugak tarik naik atas tebing.

Pagi ni sebelum pergi kerja, aku turun jugak sekejap. Rasa macam tak puas hati jer selagi tak dapat ambik gambar ikan bulan.


Seperti biasa, aku guna ekor SP Mudfish dipadankan dengan jighead 1g. Buat masa sekarang, ini adalah umpan kegemaran aku setiap kali turun memancing ikan bulan. 


Kalau korang tertanya-tanya macam mana rupa penuh SP Mudfish, ni hah. Panjang 7cm. Aku beli secara online melalui ebay. Action SP ni sangat cantik. Aku potong bahagian ekor khas untuk mancing ikan bulan jer. Memang killer. Puyu pun aku dapat sekor. Sebenarnya kalau tak potong pun dia makan jugak, tapi susah nak lekat. Aku cuma ada jighead 1g jer. Tak sesuai nak dipadankan dgn SP yg panjang 7cm. Untuk ikan bulan jer tak sesuai, kalau ikan lain rasanya tak ada masalah. Aku dah order dah jighead 2g tapi tak sampai lagi. Bulan depan kot baru sampai.


OK, berbalik pada cerita aku mancing ikan bulan. Setelah berkali-kali strike dan fight, akhirnya berjaya jugak aku dapatkan solid hook-up. Dapat la naikkan seekor ikan yang bersaiz tak besar sangat, tak kecik sangat. Tapi boleh la, berjaya jugak clear kan kumpau ikan bulan sejak 3 hari yang lalu (Hahaha...)

Salam strike & Terima kasih!

Rod: Anyfish IMEBARU, 7', 2-5lbs
Reel: Daiwa Exceller 1500X
Main Line: Ajiking Promax 6lbs
Leader Line: Tomman A CLASS 10lbs



Isnin, 10 September 2018

Froggy kesayanganku lesap!

Assalamualaikum dan salam sejahtera!

Setiap minggu, hari Ahad akan ada pasar tani di Pekan Penaga. Boleh dikatakan aku ke sana setiap minggu untuk beli barang-barang dapur. Tapi kali ni, sebelum ke pasar tani aku melencong dulu untuk mencari sedikit keseronokkan strike haruan curut guna froggy.
Seperti biasa, aku pergi jenguk port-port kegemaran yang berdekatan terlebih dahulu akan tetapi agak malang, boleh dikatakan semuanya tenggelam. Paras air terlalu tinggi ekoran hujan sejak 2-3 hari ni. Nak tak nak, terpaksa la aku merayau ke kampung sebelah dan singgah di port yang ini. Kalau tak silap aku, awal tahun ni aku ada casting kat sini tapi waktu tu haruan-haruan kat sini terlalu curut. Sekarang sudah pun masuk bulan 9, agaknya haruan-haruan ni dah semakin besar agaknya. Itu pun kalau masih ada lagi.

Port yang ini agak heavy cover, tapi froggy yang aku guna ni adalah dari jenis weedless. Takder cakap banyak aku mula buat balingan yang pertama.
Ini adalah satu-satunya froggy yang aku ada buat masa sekarang. Aku pun dah tak ingat brand apa tapi getah froggy ni memang tahan lasak. Walau pun dah berpuluh haruan aku dah strike, sedikit pun tak koyak. Kalau tak silap aku, dah lebih setahun dah rasanya aku pakai froggy ni.

Sambung balik cerita dari balingan pertama aku tadi. Tiba-tiba ada seekor katak yang agak besar yang kejar froggy aku. Hahaha, rasa macam seram pun ada jugak. Terus tak jadi nak cast dekat sini. Beralih ke port sebelah (seberang jalan).
Masih lagi tali air yang sama, cuma seberang jalan sahaja dan bersambung melalui terowong bawah jalan. Sebelah sini agak 'open' dan tak banyak sangat reba.

Selepas beberapa kali baling, tiba-tiba ada sambaran mengejut. Tapi sayang tak lekat.
Aku baling lagi sekali dekat spot yang sama tapi kali ni froggy aku tak jatuh. Aku tengok kat atas, rupa-rupanya dah terbelit kat wayar elektrik. Aku cuba tarik perlahan-lahan  tapi dah tak boleh nak buat apa-apa dah, memang dah terpusing banyak kali. Aku pun tarik sampai putus, mana la tau kot-kot jatuh kalau dah tali putus, tapi tak jugak jatuh. Nak tak nak, terpaksa la aku ucapkan selamat tinggal kat froggy kesayangan aku nih.

Lepas dah putus, aku terus berkemas dan pergi pasar tani beli apa yang patut.

Terkenangkan froggy aku yang hilang tadi, aku mula tak senang duduk. Lepas balik dari pasar tani, aku bergegas ke kedai pancing berdekatan untuk cari pengganti. Bila tengok jer kat SP ni, terus rasa berkenan. Aku ambil sepeket. Ada 4 pcs dalamnya dan semuanya berlainan warna.

Kemudian, aku beli weighted worm hook Seahawk bersaiz 2/0 untuk dipadakan dengan SP ni.

Sebenarnya, pada sebelah petang nanti aku bercadang nak turun lagi. Rasanya macam tak puas jer mancing sebelah pagi tadi. Sempat mancing sekejap jer, lepas tu froggy aku pulak yang lesap.

Pada sebelah petangnya aku turun lagi sekali. Kemudian aku teringat, kalau tak silap aku 2-3 bulan yang lepas, ada seorang sahabat aku ada jual SP murah-murah kat aku. Masih ada dalam bonet kereta aku. Ni hah, semuanya dijual kepada aku dengan harga RM20 sahaja. Katanya, dah nak pencen layan SP.

Mula-mula sekali, aku nak cuba SP Soft Shad ni dulu. Macam biasa, SP ni sejak dari dulu lagi, aku tak pernah dapat yang berenang lurus. Mesti senget jugak walau pun sedikit. Akan tetapi, memang tak dinafikan, walaupun renangannya senget, ianya tetap killer.

Kali ni aku pergi port yang lain yang berhampiran dengan rumah aku jer. Sorry aku tak ambil gambar port sebab terlalu teruja nak SP baru.

Selepas beberapa kali cast, akhirnya berjaya juga aku naikkan seekor haruan yang boleh dikatakan curut terbesar yang aku berjaya naikkan untuk tahun ini.

Barulah terasa terubat sikit kedukaan atas kehilangan froggy aku pada sebelah pagi.

Lepas dapat yang ni, aku cast lagi, tapi dah takder sebarang sambaran dah. Kemudian, aku pun mula berkemas dan pulang. Seekor sahaja untuk hari ni.

Sekian terima kasih.

Sabtu, 8 September 2018

Haruan curut

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.


Lama sungguh rasanya aku tak update blog aku ni. Sebagai permulaan setelah sekian lama menyepi, aku nak belanja 2 ekor haruan curut yang berjaya aku strike sekejap tadi sambil menunggu anak aku balik dari kem.


Haruan curut pertama...


Yg kedua...


Boleh la sekadar melepas gian. Sebenarnya sejak akhir-akhirnya aku memang jarang turun memancing. Kalau turun pun, asyik kumpau jer manjang. Kalau dapat ikan pun, haruan curut saiz macam ni jer yg ada. Lagi kecik pun ada dapat. Tapi takper, ada dalam memancing. Ada waktu kita cemerlang dan ada waktu kita malang. Hahaha...


Aku nak ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang masih sudi baca blog aku ni walau pun trend orang zaman sekarang lebih suka update dalam facebook atau whatsapp.

Terima kasih lagi sekali, salam strike!!!


Khamis, 21 Jun 2018

Haruan Ramadhan 2018

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera!

Sejak akhir2 ni, aku jarang memancing. Aku sekarang tengah sibuk belajar buat jala. InsyaAllah, kalau tak ada aral melintang aku akan berkongsi mengenai jala pertamaku dan cara2 nak buat jala.


Kalau dah kaki pancing, lama2 tak mancing memang boleh mendatangkan gian. Aku tengok set BC aku pun dah berhabuk dan tak bertali. Gian punya pasal, ambik set BC atas almari, masukkan tali, cakap banyak tak guna, terus keluar pergi cari haruan. Dapat jugak sekor buat hilang gian.

Itu sahaja la aku nok kongsikan, SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN!

Khamis, 13 Julai 2017

Lesen UL vs Kerapu Penang Port

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Aku kumpau di Penang Port lebih kurang sejak 6 tahun yang lalu iaitu sejak aku mula menetap di Pulau Pinang. Sedikit sebanyak, ianya membuatkan aku sedikit lemah semangat setiap kali bertandang ke Penang Port. Semalam, aku berkesempatan sekali lagi melawat Penang Port dan akhirnya berjaya menamatkan rekod kumpau aku di sana.

Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah...

Syukur kerana buat pertama kalinya dalam hidup aku berjaya menaikkan spisis Kerapu dengan teknik Casting. Apa yang lebih manis, aku berjaya casting kerapu dengan menggunakan set UL. Berikut ialah spesifikasi set yang aku gunakan;

Rod : Surecatch Zuna, 6', 2pcs, 2-6lbs
Reel: Ajiking Atom Mini
Main line: Ajiking Promax Line 6lbs
Leader: Stren 8lbs

Antara perkara yang menarik mengenai lesen kerapu aku ni, aku menggunakan gewang dari jenis jerkbait minnow iaitu Strike Pro Dwarf Minnow 53. Seperti yang kita tahu, antara gewang-gewang killer untuk kerapu adalah Soft Plastic dan juga deep diving crank bait.



Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa aku tidak menggunakan SP atau deep diving crank bait. Antara sebab utama, dalam permerhatian aku melalui video-video dalam youtube, ikan kerapu sebenarnya agak agresif dan mempunya naluri yang kuat untuk mengesan ikan yang sedang nazak atau cedera (dying fish). Antara gewang yang paling sesuai meniru aksi dying fish ni sudah tentulah dari jenis suspending atau slow sinking dan jerk bait. Strike Pro Dwarf Minnow memang menepati kriteria sebagai umpan yang meniru aksi dying fish. sebab yang kedua pula, aku dah tak larat dah nak beli gewang baru sebab sebelumnya sudah banyak gewang-gewang deep diving aku lesap di Penang Port ni (Hahaha..). Kalau guna minnow ni, kurang la sikit risiko gewang tersangkut kat dasar. Mungkin lepas ni aku akan cuba guna jerkbait minnow dari jenis floating pula.

Terima Kasih dan Salam Strike!

Jumaat, 24 Februari 2017

Layan SP Bakau dengan BC Baru

Assalamualaikum & Salam Sejahtera...

Lama sungguh rasanya aku tak berceloteh dalam blog aku nih. Bukannya apa, sejak ada Facebook, kegilaan mencari 'like' sudah menjadi satu fenomena dalam dunia lama web sosial. Ianya juga merupakan satu cara yang paling cepat nak bagi tau kawan-kawan.. 'Oit!!! Aku dapat ikan'. Akan tetapi sejak akhir-akhir ni aku ter'perasan' sudah mula banyak unsur-unsur negatif yang berlaku dalam dunia Facebook berbanding yang positif. Terlalu ramai yang mudah tersinggung, terlalu ramai yang mula pandai cakap lepas, terlalu ramai yang mula sound-sound orang.

Pada suatu hari, aku cuba buat kemaskini dekat wall FB aku untuk delete semua post-post yang tidak penting. Kesudahannya, aku delete kesemuanya sebab tak ada satu pun yang penting. Bila dinilai satu persatu, aku mula sedar betapa bodohnya aku dengan kata-kata aku yang lepas-lepas. Tiba-tiba datang satu perasaan malu sendiri. Siapa la aku.

Selain daripada itu, aku juga dapati, apa sahaja yang di'post' di FB lebih kepada 'dilupakan'. Macam mana tu? Susah aku nak ceritakan, tapi kalau ada masa, korang cuba la 'scroll' balik wall FB korang dan baca balik apa yang korang pernah tulis atau share. Sampai satu tahap, orang akan berhenti 'like' post korang dan sampai satu tahap, orang akan berhenti komen di post korang dan akhirnya ianya dilupakan terus bukan hanya pada orang lain, diri sendiri pun akan lupa.

Akan tetapi berbeza dengan apa yang korang tulis dalam blog. Semakin ramai orang baca, semakin popular post korang. Sampai satu tahap tu, bila orang buat carian dalam google search, dalam page pertama dah tersenarai dalam list. Satu lagi, dalam blog, kita boleh cerita dengan panjang lebar sekurang-kurangnya dapat mengelakkan salah faham atau salah tafsir. Begitu juga dengan perkongsian tentang apa sahaja ilmu, ianya akan kekal dan tidak dilupakan sebagaimana FB. Oleh sebab itulah aku membuat keputusan untuk kembali aktif menulis dalam blog. Aku menulis bukan kerana nama, sekadar berkongsi apa sahaja tentang hobi aku. Tak bermakna aku ni seorang sifu, tak juga bermakna aku ni seorang yang pandai, sekadar nak bagi tau semua orang yang hobi aku ialah memancing dan inilah beberapa perkara yang aku buat ketika memancing. Andaikata aku dapat ikan, sekurang-kurangnya aku bagi tau umpan apa aku guna dan tak semestinya ianya menjadi andaikata ianya dipraktikan di tempat yang berlainan. Kata orang-orang tua, 'Lain padang, lain belalang'.

Opsss... rasa-rasanya dah hampir jauh terpesong dari tajuk asal post ini. Maklum la, lama tak tulis, banyak yang nak ditulis.



Berbalik kepada set BC baru, ya betul, aku ada beli satu set BC baru iaitu Ajiking Nesmo yang dipadankan dengan rod Ajiking Bakun 5-12lbs, 5'6" dan tali, aku cuma guna tali tangsi Tomman Elephant 10 lbs. Tomman Elephant ni ada dua jenis, satu yang biasa dan yang satu lagi ada tulis Big Foot. Aku lupa aku pakai yang mana satu. Antara sebab utama aku suka pakai tali tangsi, aku tak suka pakai leader. Satu lagi, kalau 'backlash' senang nak leraikan balik. Antara perkara yang menarik perhatian aku untuk membeli Ajiking Nesmo ni adalah sistem brake yang digunakan adalah centrifungal. Secara peribadinya, untuk orang yang kurang mahir macam aku, centrifungal brake sangat lah sesuai. Andaikata terlupa nak setting tension knob, centrifungal brake ni masih lagi mampu mengurangkan kelajuan pusingan spool dan secara tak langsung kurang risiko berlakunya 'backlash'.




Untuk sesi menghanyirkan rod dan reel baru aku ni, target utama aku ialah haruan. Umpan yang menjadi pilihan aku pada kali ini ialah Soft Plastic Grub dari jenama Bakau. Terus terang aku katakan, memang killer SP ni, akan tetapi ada sedikit kelemahan, ianya cepat hancur atau putus. Pada masa aku tulis blog ni, SP bakau yang aku guna ni, sudah pun habis dikerjakan haruan.




Setakat ini, 4 ekor haruan berjaya ditewaskan dengan gabungan set BC dan SP Bakau aku ini. Sebelum aku guna BC, dah banyak ekor dah haruan berjaya aku strike guna SP bakau nih tapi guna set spinning UL la.




Kenapa bertukar dari spinning ke BC? Antara sebab utamanya ialah berkaitan dengan masalah tali. Aku sekadar merasakan tidak selesa casting guna set spinning kerana tali akan ter'twist' setiap kali kita membuat karauan. Andaikata kita guna untuk bottom masih lagi ok sebabnya kita tak karau banyak ketika bottom tapi untuk casting memang banyak kali kita akan lempar dan tarik. Sampai satu tahap, jika kita tersilap baling, tali akan keluar segumpal dan terus 'mee hoon'. Ianya tidaklah terlalu kiritikal sebenarnya, cuma aku ni seorang yang agak teliti dan pada waktu yang sama kurang pandai dalam penjagaan tali. Oleh itu aku ambil jalan penyelesaian mudah, guna BC. Kalau guna BC takkan ada masalah tali ter'twist'. Tak dinafikan akan berlaku juga masalah 'mee hoon' akan tetapi dengan cara yang betul, ianya masih boleh dileraikan dan apa yang penting tali tak rosak. Walau bagaimana pun, semua terpulang kepada keselesaan masing-masing. Ada yang selesa guna set spinning dan tak pernah mengalami masalah yang sama dengan aku. Agaknya aku sememangnya ditakdirkan bernasib malang jika aku guna set spinning (hahaha...).

Akhir kata, jutaan terima kasih kepada mereka yang masih setia membaca blog aku nih. Sekian, salam strike!