Rabu, 29 Januari 2014

Lesen casting belukang pembuka tirai 2014

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Mohon maaf kerana terlambat mengucapkan 'Selamat Tahun Baru 2014' ekoran terlalu sibuk dengan pelbagai urusan terutamanya perkara yang melibatkan persekolahan anak.

Untuk tahun 2014 ini, satu perubahan yang besar dalam kamus memancing aku. Satu rombakan secara besar-besaran sedang berlaku. Untuk buat sementara waktu, aktiviti pancing layang dan 'casting' menggunakan 'BC' juga dihentikan buat sementara waktu.

Bermula tahun ini juga, aku mula membuat pengumpulan gewang-gewang daripada jenama Rapala sahaja.

Berbalik kepada cerita 'casting', pada awal tahun ni iaitu awal bulan Januari aku mula ketandusan idea ikan apa yang aku nak pancing. Pada mulanya, aku cuba 'renew' lesen haruan, tapi agak malang, setiap sambaran yang aku dapat, semuanya terlucut. Nasib sememangnya tak menyebelahi aku.


Aku mula beralih arah. Teringatkan satu 'port' belukang yang agak popular di sekitar taman tempat aku tinggal iaitu Taman Penaga, K. Batas. Aku mencuba nasib mencari lesen belukang. Lagi pun, sememangnya aku belum pernah menaikkan belukang dengan mengunakan gewang.


Bercerita mengenai gewang yang sesuai untuk mensasarkan belukang, sudah tentulah gewang dari jenis 'crankbait' selaman dalam. Aku mula teringat yang aku masih ada satu gewang yang memenuhi profil itu tadi iaitu Strike Pro Crankbait Deep Diving Red Head. Gewang ni boleh dikatakan antara gewang yang mula-mula aku beli semasa aku mula menjinakkan diri aku dalam bidang 'casting' ini. Rasanya sudah lebih 10 tahun gewang ini berada di dalam 'tackle box' aku. Suatu ketika dahulu, gewang ini pernah menjadi 'killer' toman di Empangan Batu Ulu Yam. Rasanya sudah berpuluh ekor aku berjaya naikkan toman di situ menggunakan gewang ini.

Teknik yang aku gunakan dikenali sebagai teknik 'Sondol Tanah'. Dengan sengaja aku menggunakan gewang selaman dalam di air yang cetek supaya aksi 'Sondol Tanah' dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Dengan cara ini, gewang akan menyondol tanah sambil tertonggeng dan secara tidak langsung mengurangkan risiko terlekat di dasar kerana 'hook' berada di atas bukannya melerek di bawah.



Pada mulanya, aku agak tidak yakin, tapi teruskan juga niat aku untuk mencari lesen belukang. Pada hari pertama, dengan tak disangka-sangka, aku berjaya menaikkan 2 ekor belukang. Satu perasaan yang sukar hendak aku gambarkan. Tarikkan belukang tak laju sangat, tapi berat dan boleh tahan kuat dan tak mudah mengaku kalah. Walau pun sudah didaratkan, belukang tersebut masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti bergerak. Sampaikan aku nak ambil gambar pun susah.





Keesokkannya, aku mencuba lagi. Kali ini aku mencuba pula dengan set BC. Akan tetapi, set BC ini sudah pun aku jual kepada sahabat yang baru-baru nak belajar guna BC. Nasib aku kali ini lebih baik, aku berjaya lagi menaikkan 4 ekor belukang dalam masa 30 minit sahaja. Tambahan pula melayan dengan Rod Kyoto Nemesis 6-12lbs, sememangnya lawan yang sesuai untuk belukang. Aku boleh rasa setiap gedikkan ikan semasa bertarung dengan menggunakan rod ini.

Akan tetapi, beberapa hari selepas itu, aku kehilangan gewang 'killer' belukang aku semasa memancing di pantai Merdeka ekoran terlupa nak tutup 'snap'. Kemudian aku cuba lagi dengan menggunakan gewang lain, tetapi sejak hari itu, tak ada lagi belukang yang berjaya dibawa naik. Satu soalan mula bermain di fikiran aku, adakah belukang di sini lebih gemarkan 'Red Head'?

Akhir kata, sekian, Assalamualakum, Salam Sejahtera dan Salam Strike.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan