Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Didahulukan dengan maaf kerana agak lama menyepikan diri dari mengemaskini blog aku ini. Boleh dikatakan agak lama aku tak turun casting. Sejak kebelakangan aku ada turun casting sekali sekala dalam masa yang singkat. Lebih ke arah melepaskan gian sahaja.
Boleh dikatakan agak lama juga aku perhatikan port ini. Setiap kali balik kerja melalui Jambatan Pulau Pinang, mata aku tak pernah terlepas untuk menjeling lokasi ini. Lokasi ini terletak berhampiran dengan tol Jambatan Pulau Pinang. Mungkin ramai yang tak perasaan ada satu tali air di sini kerana ianya agak terlindung.
Dua hari yang lepas aku sempat singgah seketika di sini sekadar ingin mencuba nasib. seperti biasa, Jump Frog sentiasa menjadi pilihan utama aku setiap kali berkunjung ke port baru. Baru 2-3 kali membuat balingan, aku dikejutkan denga kelibat ikan keli afrika yang bersaiz mega menyusuri tali air kecil ini. Lebih kurang dalam 2-3 ekor juga rasanya. Aku cuba memujuk keli tersebut dengan menggunakan Soft Plastic, tapi ia langsung tak layan. Kemudian rasa macam putus asa sahaja, aku kembali fokus kepada pancingan Haruan.
Jump Frog sememangnya tidak mengecewakan aku. Satu sambaran yang padat sehinggakan kesemua Jump Frog 5cm aku habis ditelan oleh seekor haruan yang bersaiz agak besar iaitu seberat 570g. Boleh dinobatkan Haruan terbesar yang berjaya dipancing oleh aku untuk tahun 2013 ini.
Aku mencuba lagi dan mendapat 2 lagi sambaran akan tetapi belum sempat ditarik naik atas, Haruan tersebut berjaya melepaskan diri. Tak pasti sama ada besar atau kecil.
Semasa aku sedang berkira-kira untuk pulang, seekor lagi haruan menyambar Jump frog aku. Saiznya lebih kurang sama dengan yang pertama tadi. Berat tangkapan yang kedua ini ialah dalam 470g.
Hari sudah pun semakin gelap sebaik sahaja aku berjaya menaikkan haruan yang kedua. Tak cakap banyak aku terus berkemas dan pulang ke rumah. Terus terang aku katakan di sini, trip solo dan ringkas kali ini sememangnya sangat memuaskan hati aku. Berpeluh-peluh juga aku dibuatnya ke hulu dan hilir mencuba nasib di segenap penjuru.
Apa-apa pun, terima kasih dan salam strike!