Isnin, 16 Jun 2014

Haruan Titi Mukim

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Didahulukan dengan mohon maaf kerana agak lama tak mengemaskini 'blog' aku ni. Ekoran terlalu sibuk dengan rutin harian membuatkan aku kekurangan masa untuk diluangkan di sini.

Kali ini ialah cerita mengenaikan 'frenzy' haruan yang berlaku di tali air sekitar Titi Mukim iaitu salah satu kawasan yang berhampiran dengan rumah aku. Tak la dekat sangat, tempat ni terletak di sekitar Teluk Air Tawar, Kepala Batas.

Kejadian 'frenzy' ini hanya berlaku dalam masa yang agak singkat. Aku cuma sempat menikmatinya dalam masa seminggu sahaja. Kejadian ini berlaku sekitar bulan Febuari 2014.


Gambar di atas adalah sedikit gambaran mengenai persekitaran tali air tersebut. Sebenarnya tali air ini agak panjang. Aku terlupa untuk ambil gambar yang lebih banyak mengenai lokasi ini.

Untuk peringkat awalnya, sebelum aku dapat tahu yang jumlah haruan yang sangat banyak mendiami tali air ini, aku ada turun dengan menggunakan Rapala Skitter Pop 5 cm Lime Frog. Tapi agak malang, pada hari pertama tak ada seekor ikan pun yang berjaya dinaikkan walau pun ada menerima beberapa 'strike' daripada haruan 'curut'.

Keesokkan harinya, aku mencuba lagi. Setelah beberapa kali 'cast', tiba-tiba aku menerima satu sambaran berat. Kebetulan pula aku cuma mengguna rod yang aku beli untuk memancing udang iaitu kekili Pioneer Shrimp 1000 Siries yang dipadankan dengan Rod Figo 4-10lb 5' 6". Tali utama yang aku gunakan pula hanyalah tali tangsi cap ayam berkekuatan 10lbs.

Satu henjutan padu membuatkan drag kekili terbuka terus dan aku agak haruan tersebut sudah pun menjunam ke dalam lumpur dasar tali air. Susah payah aku menarik keluar haruan tersebut, akhirnya dengan berhati-hati berjaya juga aku naikkan haruan tersebut.




Yes! Akhirnya seekor haruan yang bersaiz agak besar berjaya dinaikkan merangkap rekod peribadi aku iaitu haruan seberat 850g. setelah berpuas hati, aku terus pulang.

Seminggu selepas itu, aku pergi lagi dan masih menggunakan Skitter Pop yang sama tapi agak malang kerana tiada haruan berjaya dinaikkan. Hanya beberapa 'strike' yang culas. Aku juga perasan, semakin ramai yang mula memancing di lokasi ini. Majoriti daripada mereka adalah pengguna katak hidup tegar.

Apabila aku perhatikan rata-rata pemancing yang hadir menaikkan banyak haruan bersaiz curut, aku mula ubah stratergi. Kali ini aku memilih untuk menggunakan SP (Soft Plastic).

Berikut ialah SP yang aku gunakan dalam misi menjerat haruan yang menggila di sini;





Boleh dikatakan, hampir setiap hari aku meluangkan masa di sini lebih kurang sejam setiap pagi selama 5 hari berturut-turut, pengguna SP di atas sememangnya sangat menjadi-jadi. Tapi kebanyakkan haruan yang berjaya ditarik naik hanyalah yang bersaiz 'baby'.












Boleh dikatakan terlalu banyak haruan yang bersaiz 'baby' berjaya dinaikan. Oleh kerana majoriti pemancing di sini ialah kaki 'tapau', semakin hari, jumlah tangkapan semakin berkurang.

Masuk hari ke lima, aku mula merasa bosan, jangankan nak naikkan ikan, nak merasa 'strike' pun dah semakin susah. Tapi akhirnya, untuk yang penghabisan, dengan menggunakan Berkley Ripple Shad 3" Rainbow Trout, berjaya jugak aku naikkan seekor haruan yang bersaiz agak besar sebagai penutup.



Hampir sama jalan cerita dengan haruan pertama yang aku berjaya naikkan dengan menggunakan Skitter Pop. Selepas membuat sambaran berat, haruan ini terus menjunam ke dasar ke dalam lumpur. Susah payah jugak aku dibuatnya sehinggakan jari terluka ketika cuba menaikkan haruan ini ke atas tebing. Haruan yang seberat 720g ini merupakan penutup untuk episod Haruan Titi Mukim pada kali ini.

Walau pun agak kecewa dengan sikap kebanyakkan pemancing yang menapau haruan bersaiz 'baby', tapi aku tetap puas kerana berjaya mencipta rekod peribadi aku dalam kategori Haruan.

Sekian, terima kasih! Salam Strike!!!