Rabu, 11 Mac 2015

Cari Lesen Untuk Cik Zuna

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Semalam aku berkesempatan untuk mencari lesen untuk Rod Surecatch Zuna aku. Walau pun tak berapa sihat, tapi boleh la sekejap sekadar melepas gian.

Pada mulanya aku cuba mencari lesen Haruan, tapi boleh dikatakan agak susah nak cari Haruan sekarang. Terlalu susah. Di tali air sekitar tempat aku tinggal boleh dikatakan hampir tak ada haruan langsung.

Sebaik sahaja selesai rawatan di klinik, aku pergi ke Bukit Minyak sekadar membuat tinjauan macam mana keadaan di sana. Sampai sahaja di sana, aku tengok ada beberapa orang pemancing yang baru selesai memancing di situ dalam perjalanan keluar dari lokasi tersebut. Sampai sahaja di lokasi, aku tengok sorang brother tuh tengah duk pasang gewang dan sedang bersiap bersedia nak mancing.

Macam biasa, port Bukit Minyak ini dipenuhi dengan ikan bulan yang bersaiz agak boleh tahan. Tengok daripada bubble trail tuh pun aku dah mula berdebar-debar. Uish... besar semacam jer bubble trail tuh...

Aku takder cakap banyak, parking kereta, terus ambik set UL aku dan terus bubuh soft plastic dan terus baling. Lepas beberapa kali baling dapat satu strike tapi tak lekat. Aku tak nak buang masa. Aku teringat aku ada satu micro jig surecatch yang aku baru beli sebelum raya cina baru-baru nih. Aku mintak maaf banyak-banyak sebab lupa nak ambil gambar banyak-banyak sebab bateri telefon aku sudah hampir kehabisan bateri.


Selepas beberapa kali baling... aku mula terasa berat dihujung joran. Lama kelamaan, joran aku terus menerus melengkung sampai ke pangkal. Aku mula menjerit dalam hati aku... Arghhh... giler ar melengkung.... ikan bulan terus bergerak perlahan dan berat... tiba-tiba satu lompatan... perghhh... boleh tahan besar jugak....

Susah payah jugak aku nak tarik ikan nih naik. Nak tarik lebih-lebih takut patah, risau tengok rod Surecatch Zuna aku nih dan melengkung habis bermula dari pangkal.

Aku tak ukur berapa panjang, aku juga tak timbang berapa berat. Tapi sejak aku duduk Penang, ni la ikan bulan yang paling besar aku pernah naikkan. Tak sangka pulak Cik Zuna aku di rasmi dengan rekod baru ikan bulan.

Akan tetapi, prestasi reel Tomman Message Mini agak mengecewakan. baru sekali turun padan, sudah pun berbunyi krik krik pada spool. Drag juga agak keras, nasib baik rod Zuna agak lembut jadi kurang sikit bebanan pada tali semasa bertarung dengan ikan nih.

Aku terus sambung casting dengan micro jig dan berjaya naikkan seekor lagi tapi saiznya agak kecil berbanding dengan yang ini. Aku tak ambik gambar, cuaca agak panas, aku cepat-cepat lepas kembali ikan yang kedua. Kemudian, entah macam mana, micro jig aku tersangkut di dasar. Nak tak nak, terpaksa la tarik sampai putus tali.


Selepas tali putus, aku malas nak sambung leader. Aku tak pakai leader, terus letak snap pada tali utama. Kemudiann, aku guna SP bakau kesayangan aku nih. Ini merupakan stok last aku SP bakau model nih. Sekarang dah susah dah nak cari. Mungkin dah discontinued.

Balingan pertama, terus bersahut. Aku sempat bertarung sekejap jer. Dengan satu lompatan, seekor tarpon yang bersaiz mega dengan senangnya memutuskan tali utama 4lbs aku. Aku tepuk dahi menyesal tak ikat leader. Menyesal sebab tarpon mega terlepas dan menyesal SP kesayangan aku pun lesap. Bengang punya pasal, aku tak cakap banyak, terus simpan joran dan terus balik.

Semasa tengah berkemas, baru aku teringat yang aku ni tak sihat sebenarnya. Seronok sangat layan set UL sampaikan terlupa yang aku tengah sakit (Ha ha ha..) Masa dalam perjalanan balik rumah baru rasa tak sihat balik.

Apa-apa pun, nanti kalau ada cuti, aku akan kembali. Oleh kerana SP bakau model ni dah susah nak cari, kali ni mungkin aku nak mencuba SP model lain pulak. Atau pun hardbait minnow. 

Spesifikasi set pancing;
Rod        : Surecatch Zuna, 6', 2-6lbs
Reel       : Tomman Message Mini
Main Line  : Ajiking Promax 4lbs
Leader Line: Tomman 6lbs
Lure       : 1. Surecatch Micro Jig 7g
             2. Bakau SP

Terima kasih dan salam strike!


Rabu, 4 Mac 2015

Reel bunyi katak UL


Aku baru dapat tahu yang TCE Tackle ada buka cawangan baru di Jelutong. Jadi dekat la sikit dengan office aku. Sebelum ni aku selalu pergi ke Bayan Lepas setiap kali nak shopping barang pancing yang murah-murah. Memang betul ada sesetengah barang yang murah kualitinya tak bagus. Tapi kalau nak difikirkan semula, kalau sekadar nak mancing Haruan rasanya sudah memadai. Tak semua barang di TCE Tackle tak bagus, ada jugak yang bagus. Terpulang la pada selera masing-masing. Misi utama aku semalam ialah nak cari reel dan tali utama untuk dipadankan dengan rod Surecatch Zuna aku.


Lama jugak aku memilih dalam kedai tu. Ada banyak reel yang berkenan dihati tapi masalah bajet la pulak kurang. Akhirnya ada satu reel yang menarik minat aku untuk beli iaitu reel Tomman Message Mini. Antara daya tarikan utama reel ini ialah bunyi katak dan satu lagi pelaras drag di belakang bukannya depan spool macam kebanyakkan reel yang lain. Ini adalah kali pertama aku memiliki reel yang mempunyai pelaras drag sebelah belakang dan juga kali pertama kali jugak guna reel bunyi katak. Aku tak dapat nak bayang macam mana bisingnya reel ni andai kata disentap ikan yang besar dan kuat.


Pagi tadi aku ada cuba buat tarikkan tali menggunakan tangan. Tapi aku perasan, sistem drag reel ini agak keras dan kasar. Walau pun drag sudah dilonggarkan sepenuhnya, drag masih lagi keras. Mungkin kerana plate kat dalam yang manghasilkan bunyi katak agak keras. Tapi aku berjaya menarik keluar tali dari spool tanpa memutuskan tali. Ini bermakna, untuk pancingan UL, aku kena guna setting drag yang paling longgar.


Untuk tali utama pula, aku memilih tali monofilament Ajiking Promax 4lbs. Aku suka tali ni sebab ada warna iaitu kuning. Kadang-kadang rasa bosan asyik pakai tali yang cerah macam biasa selalu pakai. Aku tak pasti sama ada tali ni padan atau tak dengan sistem drag reel aku yang agak keras, tapi apa-apa pun kena cuba dulu baru tau. Kalau tak padan, asyik putus jer manjang, nak tak nak, kena upgrade guna tali yang 6lbs.

Selasa, 3 Mac 2015

Rod UL Surecatch Zuna

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tengah hari tadi aku ada pergi jalan-jalan ke kedai pancing kegemaran aku iaitu kedai yang menjual banyak barang-barang Surecatch dan Zerek. Pada mulanya aku cuma nak mencari braided line 10lbs sebab ada orang dalam Facebook berminat nak beli. Seperti biasa, aku selalu layan sembang dengan tokey kedai. Sambil-sambil menilik rod-rod yang ada di situ, aku bertanya pasal rod UL. Sememangnya aku sedang mencari rod UL. Tokey tu cakap... Ada...



Sebaik sahaja tokey tersebut tunjukkan kat aku Rod Surecatch Zuna, perghhh... Terkejut aku tengok kehalusan diameter rod tersebut. Memang tersangat halus berbanding rod-rod UL yang aku pernah pakai atau tengok sebelum ni. Tak cakap banyak, aku suruh tokey tu packing rod tu sementara aku pergi bank cucuk duit. Kira confirm aku ambik rod nih. Seterusnya, nak cari reel dan tali.