Khamis, 13 Julai 2017

Lesen UL vs Kerapu Penang Port

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Aku kumpau di Penang Port lebih kurang sejak 6 tahun yang lalu iaitu sejak aku mula menetap di Pulau Pinang. Sedikit sebanyak, ianya membuatkan aku sedikit lemah semangat setiap kali bertandang ke Penang Port. Semalam, aku berkesempatan sekali lagi melawat Penang Port dan akhirnya berjaya menamatkan rekod kumpau aku di sana.

Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah...

Syukur kerana buat pertama kalinya dalam hidup aku berjaya menaikkan spisis Kerapu dengan teknik Casting. Apa yang lebih manis, aku berjaya casting kerapu dengan menggunakan set UL. Berikut ialah spesifikasi set yang aku gunakan;

Rod : Surecatch Zuna, 6', 2pcs, 2-6lbs
Reel: Ajiking Atom Mini
Main line: Ajiking Promax Line 6lbs
Leader: Stren 8lbs

Antara perkara yang menarik mengenai lesen kerapu aku ni, aku menggunakan gewang dari jenis jerkbait minnow iaitu Strike Pro Dwarf Minnow 53. Seperti yang kita tahu, antara gewang-gewang killer untuk kerapu adalah Soft Plastic dan juga deep diving crank bait.



Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa aku tidak menggunakan SP atau deep diving crank bait. Antara sebab utama, dalam permerhatian aku melalui video-video dalam youtube, ikan kerapu sebenarnya agak agresif dan mempunya naluri yang kuat untuk mengesan ikan yang sedang nazak atau cedera (dying fish). Antara gewang yang paling sesuai meniru aksi dying fish ni sudah tentulah dari jenis suspending atau slow sinking dan jerk bait. Strike Pro Dwarf Minnow memang menepati kriteria sebagai umpan yang meniru aksi dying fish. sebab yang kedua pula, aku dah tak larat dah nak beli gewang baru sebab sebelumnya sudah banyak gewang-gewang deep diving aku lesap di Penang Port ni (Hahaha..). Kalau guna minnow ni, kurang la sikit risiko gewang tersangkut kat dasar. Mungkin lepas ni aku akan cuba guna jerkbait minnow dari jenis floating pula.

Terima Kasih dan Salam Strike!

Jumaat, 24 Februari 2017

Layan SP Bakau dengan BC Baru

Assalamualaikum & Salam Sejahtera...

Lama sungguh rasanya aku tak berceloteh dalam blog aku nih. Bukannya apa, sejak ada Facebook, kegilaan mencari 'like' sudah menjadi satu fenomena dalam dunia lama web sosial. Ianya juga merupakan satu cara yang paling cepat nak bagi tau kawan-kawan.. 'Oit!!! Aku dapat ikan'. Akan tetapi sejak akhir-akhir ni aku ter'perasan' sudah mula banyak unsur-unsur negatif yang berlaku dalam dunia Facebook berbanding yang positif. Terlalu ramai yang mudah tersinggung, terlalu ramai yang mula pandai cakap lepas, terlalu ramai yang mula sound-sound orang.

Pada suatu hari, aku cuba buat kemaskini dekat wall FB aku untuk delete semua post-post yang tidak penting. Kesudahannya, aku delete kesemuanya sebab tak ada satu pun yang penting. Bila dinilai satu persatu, aku mula sedar betapa bodohnya aku dengan kata-kata aku yang lepas-lepas. Tiba-tiba datang satu perasaan malu sendiri. Siapa la aku.

Selain daripada itu, aku juga dapati, apa sahaja yang di'post' di FB lebih kepada 'dilupakan'. Macam mana tu? Susah aku nak ceritakan, tapi kalau ada masa, korang cuba la 'scroll' balik wall FB korang dan baca balik apa yang korang pernah tulis atau share. Sampai satu tahap, orang akan berhenti 'like' post korang dan sampai satu tahap, orang akan berhenti komen di post korang dan akhirnya ianya dilupakan terus bukan hanya pada orang lain, diri sendiri pun akan lupa.

Akan tetapi berbeza dengan apa yang korang tulis dalam blog. Semakin ramai orang baca, semakin popular post korang. Sampai satu tahap tu, bila orang buat carian dalam google search, dalam page pertama dah tersenarai dalam list. Satu lagi, dalam blog, kita boleh cerita dengan panjang lebar sekurang-kurangnya dapat mengelakkan salah faham atau salah tafsir. Begitu juga dengan perkongsian tentang apa sahaja ilmu, ianya akan kekal dan tidak dilupakan sebagaimana FB. Oleh sebab itulah aku membuat keputusan untuk kembali aktif menulis dalam blog. Aku menulis bukan kerana nama, sekadar berkongsi apa sahaja tentang hobi aku. Tak bermakna aku ni seorang sifu, tak juga bermakna aku ni seorang yang pandai, sekadar nak bagi tau semua orang yang hobi aku ialah memancing dan inilah beberapa perkara yang aku buat ketika memancing. Andaikata aku dapat ikan, sekurang-kurangnya aku bagi tau umpan apa aku guna dan tak semestinya ianya menjadi andaikata ianya dipraktikan di tempat yang berlainan. Kata orang-orang tua, 'Lain padang, lain belalang'.

Opsss... rasa-rasanya dah hampir jauh terpesong dari tajuk asal post ini. Maklum la, lama tak tulis, banyak yang nak ditulis.



Berbalik kepada set BC baru, ya betul, aku ada beli satu set BC baru iaitu Ajiking Nesmo yang dipadankan dengan rod Ajiking Bakun 5-12lbs, 5'6" dan tali, aku cuma guna tali tangsi Tomman Elephant 10 lbs. Tomman Elephant ni ada dua jenis, satu yang biasa dan yang satu lagi ada tulis Big Foot. Aku lupa aku pakai yang mana satu. Antara sebab utama aku suka pakai tali tangsi, aku tak suka pakai leader. Satu lagi, kalau 'backlash' senang nak leraikan balik. Antara perkara yang menarik perhatian aku untuk membeli Ajiking Nesmo ni adalah sistem brake yang digunakan adalah centrifungal. Secara peribadinya, untuk orang yang kurang mahir macam aku, centrifungal brake sangat lah sesuai. Andaikata terlupa nak setting tension knob, centrifungal brake ni masih lagi mampu mengurangkan kelajuan pusingan spool dan secara tak langsung kurang risiko berlakunya 'backlash'.




Untuk sesi menghanyirkan rod dan reel baru aku ni, target utama aku ialah haruan. Umpan yang menjadi pilihan aku pada kali ini ialah Soft Plastic Grub dari jenama Bakau. Terus terang aku katakan, memang killer SP ni, akan tetapi ada sedikit kelemahan, ianya cepat hancur atau putus. Pada masa aku tulis blog ni, SP bakau yang aku guna ni, sudah pun habis dikerjakan haruan.




Setakat ini, 4 ekor haruan berjaya ditewaskan dengan gabungan set BC dan SP Bakau aku ini. Sebelum aku guna BC, dah banyak ekor dah haruan berjaya aku strike guna SP bakau nih tapi guna set spinning UL la.




Kenapa bertukar dari spinning ke BC? Antara sebab utamanya ialah berkaitan dengan masalah tali. Aku sekadar merasakan tidak selesa casting guna set spinning kerana tali akan ter'twist' setiap kali kita membuat karauan. Andaikata kita guna untuk bottom masih lagi ok sebabnya kita tak karau banyak ketika bottom tapi untuk casting memang banyak kali kita akan lempar dan tarik. Sampai satu tahap, jika kita tersilap baling, tali akan keluar segumpal dan terus 'mee hoon'. Ianya tidaklah terlalu kiritikal sebenarnya, cuma aku ni seorang yang agak teliti dan pada waktu yang sama kurang pandai dalam penjagaan tali. Oleh itu aku ambil jalan penyelesaian mudah, guna BC. Kalau guna BC takkan ada masalah tali ter'twist'. Tak dinafikan akan berlaku juga masalah 'mee hoon' akan tetapi dengan cara yang betul, ianya masih boleh dileraikan dan apa yang penting tali tak rosak. Walau bagaimana pun, semua terpulang kepada keselesaan masing-masing. Ada yang selesa guna set spinning dan tak pernah mengalami masalah yang sama dengan aku. Agaknya aku sememangnya ditakdirkan bernasib malang jika aku guna set spinning (hahaha...).

Akhir kata, jutaan terima kasih kepada mereka yang masih setia membaca blog aku nih. Sekian, salam strike!