Selasa, 3 Disember 2013

Lepas gian layan Haruan dengan Jump Frog.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Didahulukan dengan maaf kerana agak lama menyepikan diri dari mengemaskini blog aku ini. Boleh dikatakan agak lama aku tak turun casting. Sejak kebelakangan aku ada turun casting sekali sekala dalam masa yang singkat. Lebih ke arah melepaskan gian sahaja.

Boleh dikatakan agak lama juga aku perhatikan port ini. Setiap kali balik kerja melalui Jambatan Pulau Pinang, mata aku tak pernah terlepas untuk menjeling lokasi ini. Lokasi ini terletak berhampiran dengan tol Jambatan Pulau Pinang. Mungkin ramai yang tak perasaan ada satu tali air di sini kerana ianya agak terlindung.

Dua hari yang lepas aku sempat singgah seketika di sini sekadar ingin mencuba nasib. seperti biasa, Jump Frog sentiasa menjadi pilihan utama aku setiap kali berkunjung ke port baru. Baru 2-3 kali membuat balingan, aku dikejutkan denga kelibat ikan keli afrika yang bersaiz mega menyusuri tali air kecil ini. Lebih kurang dalam 2-3 ekor juga rasanya. Aku cuba memujuk keli tersebut dengan menggunakan Soft Plastic, tapi ia langsung tak layan. Kemudian rasa macam putus asa sahaja, aku kembali fokus kepada pancingan Haruan.

Jump Frog sememangnya tidak mengecewakan aku. Satu sambaran yang padat sehinggakan kesemua Jump Frog 5cm aku habis ditelan oleh seekor haruan yang bersaiz agak besar iaitu seberat 570g. Boleh dinobatkan Haruan terbesar yang berjaya dipancing oleh aku untuk tahun 2013 ini.

Aku mencuba lagi dan mendapat 2 lagi sambaran akan tetapi belum sempat ditarik naik atas, Haruan tersebut berjaya melepaskan diri. Tak pasti sama ada besar atau kecil.

Semasa aku sedang berkira-kira untuk pulang, seekor lagi haruan menyambar Jump frog aku. Saiznya lebih kurang sama dengan yang pertama tadi. Berat tangkapan yang kedua ini ialah dalam 470g.

Hari sudah pun semakin gelap sebaik sahaja aku berjaya menaikkan haruan yang kedua. Tak cakap banyak aku terus berkemas dan pulang ke rumah. Terus terang aku katakan di sini, trip solo dan ringkas kali ini sememangnya sangat memuaskan hati aku. Berpeluh-peluh juga aku dibuatnya ke hulu dan hilir mencuba nasib di segenap penjuru.

Apa-apa pun, terima kasih dan salam strike!

Jumaat, 16 Ogos 2013

Layan SP sekadar pengubat kumpau Raya

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Strike,

Sekali lagi, Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Seperti biasa, balik kampung selalu tu aku selalu pergi memancing. Tapi, raya kali ni, aku terlalu sibuk. Tak sempat nak memancing. Dapat memancing sekejap-sekejap jer. Itu pun tak dapat ikan. Kumpau.

 


Sampai sahaja di Penang, seperti biasa, aku pergi ke port kegemaran aku iaitu port belakang kandang kambing.


Pagi semalam pun aku ada turun di sini. Banyak juga strike yang aku dapat dari Haruan dan Tarpon. Haruan ada seekor yang saiz remaja, tapi terlepas. Sempat tarik sampai tepi, tapi tak sempat nak tarik naik atas. 2 ekor Tarpon berjaya tarik. Seekor kecik, dan seekor lagi kat dalam gambar kat atas tu, boleh tahan besar jugak.






Pagi ni aku turun lagi sekali. Masih lagi menggunakan SP yang sama iaitu Berkley Ripple Shah Firetiger 2". Tapi pagi ni agak malang. Walaupun agak banyak strike yang aku dapat dari Tarpon, tapi tak ada satu pun yang betul-betul melekat.





Kemudian aku rasa bosan la pulak sebab asyik terlepas jer. Aku tukar SP. Kali ni aku pakai SP Storm Grub 2" kaler putih. Dan buruk dah SP nih, ekornya dan hampir putus dan badannya dah hampir hancur lunyai. Ini la satu-satunya SP spesis grub yang aku ada buat masa sekarang.

 

Walaupun SP tu dah buruk, tapi ada jugak yang sudi nak menyambar. Seperti biasa, seekor haruan yang bersaiz remaja berjaya dinaikkan.  Walau pun kecik, tapi mencirit-cirit jugak set spinning light aku dibuatnya.

Aku rasa cukup la setakat tu, lepas jer dapat haruan ni, aku terus simpan joran dan balik rumah.

Sekian, Salam Strike.

Isnin, 29 Julai 2013

SP udang cap bakau... Terbaik!!!

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Strike.

Tak lama lagi kita akan berhari raya dan seperti biasa, setiap kali raya menjelma, aku akan pulang ke kampung aku dan seperti biasa juga terjadilah beberapa komplot memancing tanpa dirancang bersama biras-biras, ipar-ipar dan juga sahabat-sahabat di kampung.

Tengah hari tadi, aku keluar sekejap ke klinik gigi untuk membuat tampalan baru pada gigi aku yang sedang berlubang kerana tampalan lama dah tercabut. Tampal gigi ni bukannya murah, terpaksa tunggu gaji masuk dulu, baru boleh buat.

Setelah selesai, dalam perjalan pulang ke pejabat, hujan mula turun renyai-renyai dan kebetulan pula berhampiran dengan TCE Tackle. Apa lagi, singgah dulu sementara menunngu hujan reda.


Masuk sahaja ke dalam kedai, produk yang paling mengejutkan aku ialah Soft Plastic udang cap Bakau. Perghhhh!!!! itulah ayat pertama yang terkeluar kat mulut aku. Ada 2 saiz, iaitu kecil dan besar. Gambar kat atas tu, lebih kurang dalam 5cm kalau tak silap aku iaitu yang kecil. Yang besar lebih kurang 7-8cm.

Bagi aku, memang cantik, terutamanya warna firetiger yang aku beli ni. Setakat yang aku tengok dalam kedai tadi, ada 3 warna sahaja. Mungkin lain kali aku beli warna-warna yang lain.


Seperti selalu, setiap kali pulang ke kampung, target utama ialah ikan siakap dan MJ (siakap merah). Aku beli 2 biji lagi minnow Strike Pro. Lagi pun, stok minnow aku tak banyak sebab semasa di Penang, aku lebih banyak layan haruan dan tarpon. Nak tahu menjadi ke tidak, kena la tunggu lepas raya nanti.

Apa-apa pun, aku nak mengambil kesempatan ini mengucapkan 'SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN' kepada semua.

Sekian, Salam Strike!


Khamis, 18 Julai 2013

Haruan Pertama Bulan Ramadhan

Assalamualaikum, Salam Sejahtera & Salam Strike.

Rasa-rasanya masih belum terlambat untuk mengucap 'Selamat Berpuasa' khasnya untuk mereka yang beragama Islam.

Aku tak tahu macam mana nak mulakan benda ni. Boleh dikatakan agak lama juga la aku kumpau haruan.


Seperti biasa, aku pergi ke port kegemaran aku iaitu port 'Belakang Kandang Kambing'. Aku pun tak tahu kenapa sejak akhir-akhir ni, haruan-haruan disini kurang galak menyambar gewang. Boleh dikatakan, banyak kali jugak aku kumpau sejak akhir-akhir ni. Bukannya tak ada ikan kat sini, ada dan banyak terutamanya yang bersaiz curut.

Keadaan air sangat cantik hari ini, cetek dan jernih. Haruan jelas kelihatan sana sini menimbul sekali sekali ambil udara dipermukaan. Memang banyak berkumpul di sini. Tapi tak kira la banyak mana pun berkumpul di sini, setiap kali kejadian air surut ni berlaku, setiap kali tu la nafsu menyambar mereka jadi berkurang. Aku sendiri pun masih tak faham sampai sekarang.


Melihat banyaknya si curut bermain sana sini, gewang yang pertama sekali terlintas kat kepala aku ialah micro spoon cap bakau ni. Tapi aku tak tahu kenapa, kebanyakkannya cuma ikut jer gewang tu. Tak strike pun.


Kemudian aku teringat pulak pasal jump frog. Lama sungguh rasanya tak layan jump frog. Aku pun cuba baling jump frog pulak.

Tangkapan Pertama : Haruan
Berat : 200g
Panjang : 26cm

Akhirnya, ada juga seekor haruan curut yang sudi. Senang cakap, berjaya juga la akhirnya. Tapi kes haruan malas nak menyambar masih lagi menjadi tanda tanya.





Alang-alang dah dapat seekor, aku rasa bolehlah aku mencuba gewang yang aku baru beli semalam. Gewang budak gemuk cap bakau. Aku tak tau kenapa, bila aku tengok jer gewang ni, aku yakin sangat yang haruan akan makan gewang ni. Tapi silap sikit jer, besar sangat, 6cm. Aku cuba cari yang lagi kecil tapi tak jumpa. Tapi tak kisah la, aku beli la dulu yang ini, lagi pun gewang cap bakau nih murah jer.

Setelah beberapa kali baling, akhirnya ada jugak haruan curut yang sudi strike. Tapi sayang, aku sempat karau separuh jalan jer. Terlepas la pulak. Aku cuba lagi. Banyak jugak la aku dapat strike dari yang curut-curut.  Tapi tak lekat. Rasa seolah-olah ikan tu cuma patuk-patuk jer gewang nih.

Jadi aku rasa, cukuplah setakat tu, dah terbukti memang gewang ni menjadi untuk haruan. Tapi aku rasa, aku nak ubahsuai sikit untuk gewang untuk masa yang akan datang. Satu perkara yang aku perasan, saiz hook terlalu kecik, macam tak padan pulak dengan kegemukkan gewang nih. Mungkin kena tukar hook yang besar sikit dan tambah bulu ayam.

Sekian, Terima Kasih dan Salam Strike.

Selasa, 25 Jun 2013

Ubah suai gewang dan Ikan Bulan

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Strike!

Kebetulan, aku ada sedikit masa lapang. Jadi aku bercadang nak buat sedikit ubah suai untuk salah satu gewang aku iaitu Strike Pro Minnow 5 cm Red Head.


Boleh dikatakan, setakat ini, gewang ini masih belum menerima strike daripada mana-mana ikan lagi walau pun dah banyak kali turun padang.



Seperti biasa, aku suka guna single hook untuk gewang-gewang aku. Hook yang aku guna ialah Owner Single Hook #6. Tapi, kali ini aku buat sedikit penambahan dengan mengikat crystal flash berwarna merah pada hook belakang.


Walau pun hanya nampak seperti sedikit sahaja tambahan yang dibuat, tapi ianya boleh membawa perbezaan yang sangat besar. Sebaik sahaja selesai, tiba-tiba sahaja datang satu perasaan tidak sabar dalam dada aku ini. Perasaan tak sabar nak mencuba keberkesanan gewang ini (hahaha...).


Tak cakap banyak, aku terus bergegas ke lokasi yang pernah menjadi lokasi kegemaran aku suatu ketika dahulu. Ini adalah lubuk ikan bulan. Sudah berpuluh rasanya ikan bulan aku dah naikkan kat sini. Antara senjata utama yang paling berkesan untuk memujuk ikan bulan kat sini sudah tentu lah pancing layang dengan menggunakan pattern ulat sagu. Tapi kali ini, ikan bulan kat sini sudah tidak sebanyak dahulu. Mana perginya pun aku tak tahu.

Tapi misi kali ini adalah nak menguji gewang strike pro kepala merah yang baru aku tambah crystal flash kat ekor dia. Memang dah banyak kali aku guna gewang ni kat sini tapi tak pernah sekali pun di sentuh oleh ikan bulan kat sini. Oleh itu, ini adalah lokasi yang sangat sesuai nak menguji gewang ni.

Baru sahaja beberapa kali baling, aku sudah pun menerima 2 strike daripada ikan bulan, tapi macam biasa lah, tak semudah tu nak strike naik ikan bulan ni. Banyak jugak strike yang aku dapat, sampai dah tak ingat beberapa kali. Jadi ini jelas menunjukkan, dengan sedikit penambahan mampu melakukan perubahan yang sangat besar. Gewang yang suatu ketika dahulu tak laku sekarang sudah boleh dinobatkan sebagai killer.


Akhirnya, seekor ikan bulan yang bersaiz serdahana berjaya jugak dinaikkan merangkap lesen untuk gewang ini. Terus terang aku cakap... memang puas hati...

Aku rasa cukuplah sekadar seekor, lagi pun, misi ini sekadar nak menguji gewang tu jer. Dah boleh balik dah rasanya....

Sekian, Salam Strike!

Khamis, 20 Jun 2013

Ikatan Pancing: Perfection Loop

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Strike!

Ini ada satu lagi ikatan yang aku nak kongsi iaitu Perfection Loop. Ikatan ini adalah amatlah penting terutamanya di kalangan kaki pancing layang. Dalam pancing layang, boleh dikatakan ikatan ini adalah ikatan yang banyak aku gunakan termasuklah dalam mengikat lelayang pada tippet.

Sila rujuk youtube link dibawah ini untuk cara-cara nak mengikat Perfection Loop;


Di sini aku nak berkongsi tip macam mana nak masukkan lelayang, mata kail atau gewang ke dalam Perfection Loop.

Seperti yang kita tengok dalam video di atas, ikatan ini dimulakan dengan membuat loop yang pertama dan loop yang kedua, kemudian letak tali lebihan antara loop yang pertama dan kedua, kemudian masukkan loop kedua ke dalam loop yang pertama dan tarik tali pangkal, tali lebihan dan loop yang kedua.

Besar atau kecil saiz loop yang terhasil ialah bergantung kepada besar atau kecil loop yang kedua.

Kembali kepada tip macam mana nak masukkan lelayang, mata kail atau gewang pada ikatan ini. Sama seperti di atas, mulakan dengan membuat loop yang pertama. Perlu ingat saiz loop yang pertama mestilah cukup besar untuk lelayang, mata kail atau gewang untuk telus melaluinya.

Sebelum membuat loop yang kedua, masukkan tali ke dalam lubang tali pada lelayang, mata kail atau gewang dan buat loop yang kedua yang di mana lelayang, mata kail atau gewang sudah ada bersama loop yang kedua. Untuk peringkat ini, bagi memastikan ikatan ini nampak cantik, cuba sedaya upaya untuk hasilkan loop yang kedua ini sekecil yang mungkin.

Kemudian terus seperti biasa dengan meletakkan lebihan tali antara loop pertama dan loop yang kedua. Kemudian, masukkan lelayang, mata kail atau gewang melalui atau ke dalam loop yang pertama dan akhir sekali buat tarikan kemasan. Akhirnya anda mempunyai Perfection Loop bersama dengan lelayang, mata kail atau gewang anda.

Selamat mencuba dan Salam Strike!

Ikatan Pancing: Albright Knot

Assalamualaikum, Salah Sejahtera dan Salam Strike!

Kebanyakan pemancing-pemancing di Malaysia suka menggunakan tali sulam sebagai tali utama. Dan ada di antara kita masih tak tahu macam mana nak sambung antara tali utama dengan tali leader. Antara ikatan yang paling popular sekali ialah FG Knot. Tapi aku tak mahu bercerita mengenai FG Knot. Memang tidak dapat dinafikan lagi, FG Knot adalah antara ikatan yang paling kuat untuk sambungan 2 jenis tali yang berlainan diameter.

Di sini aku nak berkongsi satu ikatan yang membolehkan kita menyambung 2 tali berlainan diameter dan aku sendiri menggunakan ikatan ini untuk set pancing aku iaitu Albright Knot. Albright Knot adalah ikatan yang boleh dikatakan agak kuat dan apa yang paling penting, ianya senang untuk dilaksanakan.

Sila rujuk youtube link dibawah untuk mengetahui cara-cara nak membuat ikatan Albright Knot;



Sekian, Salam Strike!

Rabu, 19 Jun 2013

Playar Split Ring

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Strike!

19.06.2013 (Rabu)


Hari ini aku ada membeli salah satu peralatan yang aku rasa agak penting iaitu Playar Split Ring.

Playar split ring, sangatlah penting dan perlu ada dalam kotak pancing terutamanya dikalangan kaki casting. Ianya penting jika diukur dari segi aspek keselamatan semasa menukar atau membuka hook pada gewang.

Pada mulanya, aku langsung tak ambil kisah mengenai alat ini. Ini adalah kerana, sebelum ini, kebanyakkan gewang-gewang yang aku gunakan adalah bersaiz kecil. Kebanyakkan gewang-gewang yang aku beli, aku lebih suka menukarkan treble hook yang asal kepada single hook dengan menggunakan playar biasa sahaja. Oleh kerana split ring pada gewang yang kecil mempunyai kekuatan 10lbs-20lbs playar biasa pun sudah pun memadai. Sebagai pemancing yang mengamalkan CnR*, adalah penting bagi aku memastikan ikan yang dipancing tidak mengalami kecederaan yang serius dan atas sebab itu lah aku suka menggunakan single hook pada gewang-gewang aku.


2 minggu yang lepas, satu kejadian telah berlaku dimana, 2 daripada hook Rapala Maxrap13 aku hampir dilurus dikerjakan oleh siakap sungai yang bersaiz mega. 


Kemudian, semasa dalam proses menggantikan hook rapala tersebut kepada single hook, baru aku sedar yang ianya sangat merbahaya. Ini adalah kerana, gewang-gewang yang besar menggunakan split ring yang mempunyai kekuatan 50lbs-60lbs. Bila-bila masa sahaja kemalangan boleh berlaku seperti pegangan pada split ring menggunakan playar biasa boleh tergelincir dan mata tajam hook tertusuk mengenai anggota badan kita.

Oleh itu, pastikan menggunakan peralatan yang betul jika ingin menukar, membuka atau memasang hook pada gewang bagi memastikan keselamatan kita lebih terjamin.

Salam Strike!

Petunjuk:
* CnR = Catch and Release

Selasa, 18 Jun 2013

Haruan dan Ikan Bulan

Assalamualaikum, Salam Sejantera dan Salam Strike!

Untuk post yang pertama ini, aku ingin mengambil peluang ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang sudi membaca blog aku ini.

15.06.2013 (Sabtu)

Pada mulanya, aku bercadang nak casting ikan siakap di Permatang Bendahari tapi keadaan air sangat mengecewakan. Terlalu keruh ekoran kejadian ribut yang melanda Pulau Pinang 2 hari yang lepas.


Lalu aku berkunjung ke port kegemaran aku suatu ketika dahulu yang boleh dikatakan agak lama aku tidak berkunjung di sini. Port ini aku namakan sebagai port 'Belakang Kandang Kambing'. Keadaan air dan permandangan di sini boleh dikatakan amat cantik.

Target utama aku pada kali ini ialah ikan Haruan. Boleh dikatakan agak lama aku tak turun melayan ikan haruan.


Gewang pilihan aku pada kali ini ialah Rapala Skitter Pop 7cm Orange Craw. Boleh dikatakan, setiap kali turun memancing haruan menggunakan popper, inilah warna kegemaran aku.


Selain daripada haruan, spesis lain yang mendiami port ini ialah ikan bulan dan sungguh tak disangka-sangka, pada balingan yang kedua, seekor ikan bulan yang agak besar telah menyambar SP7.

Pencarian haruan diteruskan. Semasa aku menyusuri tali air mencari tanda-tanda Haruan, tiba-tiba aku ternampak ada tompok merah iaitu sekumpulan anak haruan. Aku pun cuba membuat balingan sekitar kumpulan anak merah tersebut.


Akhirnya seekor haruan yang bersaiz agak besar menyambar SP7 aku. Tak pasti sama ada ini adalah mama kepala kumpulan anak merah tadi sebab balingan yang aku buat agak jauh dari kumpulan anak merah tadi.

Kemudian aku perasan seolah-olah masih ada seekor lagi haruan di sekitar anak merah tadi, lalu aku mencuba sekali lagi.


Setelah beberapa kali mencuba, dapat lagi seekor Haruan. Yang ini pun aku tak pasti sama ada mama kepala kumpulan anak merah tadi sebab saiznya agak kecil. Tapi tak apalah, janji tak kumpau. Rasa-rasanya, cukuplah untuk hari ini.

Terima kasih dan Salam Strike!

Isnin, 25 Mac 2013

Lama tak mancing haruan


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Boleh dikatakan agak lama aku tak turun memancing haruan. Sejak kebelakangan ini, aku sedikit obses dengan pancingan ikan bulan. Tambahan pula, terkenangkan karen Abu Rocket Minnow jenis Rainbow.

Minggu Lepas, Abu Rocket lesap ekoran tersangkut pada kayu dalam air. Tapi sebelum kejadian lesap, aku sempat merasa beberapa kali 'strike' daripada bulan mega yang bermain di air cetek. Tak ada satu pun yang berjaya dibawa naik, semuanya, dimuntahkan balik sewaktu melompat.

 Minggu ni, 'mood' memancing aku sedikit hilang. Tapi, tiba-tiba teringatkan si ikan Haruan. Bila difikir-fikirkan balik, memang agak lama aku tak turun 'meruan'. Pernah dapat haruan, tapi semasa memancing ikan bulan dengan menggunakan popper R2S. Dalam erti kata lain, bukan misi haruan yang sebenar.

Pagi tadi, aku turun lagi, tapi kali ini sememangnya target aku ialah ikan haruan. Ntah macam mana, tiba-tiba aku dapat merasa satu keseronokkan yang dah lama aku tak rasa iaitu, missed strike daripada haruan. Hahahahaha

Dengan menggunakan jump frog, berkali-kali aku menerima strike tapi missed. Tiba-tiba sahaja, mood memancing aku kembali semula.

Akhirnya, berjaya juga aku menaikkan seekor ikan haruan yang boleh dinobatkan haruan terbesar tahun 2013. Boleh tahan karen jugak dibuatnya. Dan buat pertama kalinya aku merasa karen rod BC single hand.

Karen tarikkan ikan ke atas rod single hand ni ada sedikit kelainan. Feel nya hampir sama dengan rod fly ekoran, tangan kita yang memegang berada dihujung rod. Aku boleh merasakan setiap gedikkan ikan yang sedang melawan dalam air.


Pada mulanya, aku sedikit kekok menggunakan rod single hand ni, tapi setelah merasa karen daripada ikan haruan di atas, aku mula menyukai rod ini. Rod jenis single hand ni, memang seronok melayan gedikan ikan. Mungkin aku perlu cuba berlawan dengan ikan bulan pulak selepas ini.

Apa-apa pun, sekian dan Salam Strike!

Rabu, 20 Mac 2013

Minnow kaler raibow trout

     Assalamualikum dan Salam Sejahtera,


Hari ni aku nak berkongsi sikit mengenai gewang minnow rainbow trout.
Semalam aku ada membeli gewang Abu Rocket Rainbow trout.
Sebenarnya, aku nak cari Yo-Zuri Pin Minnow rainbow trout 5cm, tapi tak jumpa. Kemudian aku tengok Abu Rocket ni lebih kurang sama jer dengan Pin Minnow tu. Masa aku beli ni, dalam fikiran aku cuma satu jer, ikan bulan.
Pada hari yang lepas-lepas, memang aku pernah beli pin minnow rainbow trout, tapi boleh pulak tersangkut kat kayu dan hilang macam tu jer.
Pagi tadi aku sempat menguji Abu Rocket rainbow trout ni, aku tukar hook guna Owner singler hook #6. Ni adalah saiz yang paling kecik untuk siries S-75M.
Berbulu jugak mata aku nak pasang single hook ni, maklum la, aku cuma guna playar biasa jer. (Hahahaha...)
Memang betul, tak kira la jenama apa sekali pun, kalau kaler rainbow trout, dan berbentuk kurus, sememangnya menepati profil makan ikan bulan. Banyak jugak strike yang aku dapat, tapi macam biasa, tak semudah itu nak menyangkup ikan bulan ni, asyik rabut sahaja.
Akhirnya, ada jugak yang melekat. Ini pun sambaran yang berlaku ketika gewang aku sudah pun hampir sampai ke tebing. Jadi tak merasa la fight ikan ni. Lagi pun, saiznya tak la besar sangat, anggaran dalam 25-27cm rasanya. Tapi, boleh laaa.... apa-apa pun... layannnn...
    Sekian, Salam Strike!

Rabu, 13 Mac 2013

Lesen gewang 9 tahun

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pagi ni aku siap awal sikit hantar anak pergi sekolah. Sementara tunggu nak masuk office, aku sempat layan ikan bulan dekat salah satu port kegemaran aku dalam setengah jam.

Ini la port yang dikenali sebagai port pintu tali air Taman Penaga. Memang banyak ikan bulan kat sini. Dah banyak ekor dah aku naikkan ikan bulan kat sini lebih-lebih lagi menggunakan fly.

Ada dua port pintu tali kat Penaga ni, satu lagi port pintu tali air berhampiran dengan tempat orang jual ikan segar. Kat situ, ikan bulannya jauh lebih besar dari port yang ini tapi sangat liat nak menyambar umpan.




Seperti biasa, aku guna popper R2S kaler merah nih. Sememangnya aku beli popper ni untuk main bulan tapi setakat ni, tak ada satu pun yang lekat. Strike banyak, tapi tak lekat. Hanya beberapa ekor haruan jer yang berjaya aku naikkan guna popper ni.

Sepertia biasa, balingan yang pertama sudah pun bersahut, tapi seperti biasa jugak rabut. Tak lekat. Aku pun tak tahu kenapa la susah sangat ikan bulan nak lekat guna popper ni. Mungkin jugak hook dia yang terlalu kecil kot. Takper la... nanti aku nak custom letak single hook pulak. Tapi masalahnya pagi tadi, cuma sekali jer aku dapat strike guna popper nih.

Oleh kerana dah tak ada strike, aku tukar pakai popper strike pro pulak. Popper ni kalau tak silap aku dibeli 9 tahun yang lalu. Mungkin 10 tahun, tapi tak kisah la sangat, tapi popper nih belum pernah dapat lesen lagi dari mana-mana ikan. Popper ni jugak ada sedikit sentimental value, kenangan bersama dengan sahabat baik aku. Dia la yang beli popper nih dan seperti biasa, kesemua gewang-gewang yang dia beli, dia akan simpan dalam box aku dan sampai sekarang aku masih lagi simpan popper nih. Saiz popper ni lebih besar berbanding dengan popper R2S. Aku sengaja pakai popper besar sebab nak hasilkan bunyi 'blob-blob' yang lebih kuat sebab aku tengok keadaan air agak tinggi atau dalam dari biasa.

Setelah beberapa kali dibaling dan diaksikan dengan jerk pendek-pendek sambil menghasilkan bunyi 'blob-blob' akhir, popper ni bersahut jugak.

Berjaya jugak aku mendapatkan lesen untuk popper aku yang ini setelah lebih 9 tahun berada dalam box aku.








Sekian, Salam Strike.

Selasa, 12 Mac 2013

Lama sungguh tak layan 'casting'

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Agak lama aku tak update blog aku dan dah macam-mcam ikan dah aku bawak naik. Buat masa sekarang ni, aku berehat seketika daripada bermain fly. Aku kembali ber'casting'. Bukan dengan BC, tapi dengan spinning. Bukannya apa, aku malas nak fikir banyak. Lagi pun, aku tengah ada banyak masalah peribadi sekarang.

Pagi tadi aku ada turun, sekadar melepaskan gian di lokasi biasa iaitu port belakang kandang kambing.

 Keadaan, air memang nampak cantik. Sekali sekala nampak 'boiling' ikan bulan. Minggu lepas, aku menerima 'strike' daripada ikan bulan mega kat sini bertalu-talu. Jadi hari ni, aku ingatkan nak 'repeat'.










 Inilah gewang yang aku guna yang mendapat 'strike' bertalu-talu daripada ikan bulan. Tapi, agak malang, tak ada satu pun yang lekat.

Tapi, pagi tadi, langsung tak ada strike daripada ikan bulan. Bagi mengelakkan kejadian kumpau berlaku, aku mengalihkan fokus aku pada ikan haruan. Aku cuba membaling ke kelompok anak-anak ikan yang sedang bermain-main kat atas air dan bahagian tepi-tepi tali air.



Nah! Akhirnya, ada jugak haruan curut yang sudi membaham popper R2S aku ni. Aku cuba lagi, tapi nampaknya, keadaan air sangat tak sesuai untuk memancing haruan menggunakan popper. Air terlalu dalam, selalunya, penggunaan soft plastic jauh lebih sesuai. Tapi, fokus aku sekarang ialah penggunaan popper.

Haruan yang aku dapat ni pun, di bahagian air yang cetek. Setakat yang aku pernah cuba, gewang-gewang dari jenis topwater nih, hanya sesuai untuk air yang cetek sahaja. Kalau air dalam, tersangat la kurang sambutannya.

Minggu depan, kalau air masih lagi dalam, aku nak cuba gewang jenis menyelam pulak. Tapi kali ni, aku nak custom sikit gewang tu nak jadikkan dia kalis sangkut. Kalau nak tengok macam mana aku buat, sila tunggu post yang akan datang.

Sekian, salam strike.