Isnin, 15 Disember 2014

Casting ikan bulan dengan Skitterpop

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pagi tadi aku turun melepas rindu layan casting ikan bulan dengan skitterpop. Ternyata Rapala Skitterpop 5cm Lime Frog jarang-jarang menghampakan aku.





4 ekor berjaya didaratkan lagi 3 ekor terlepas sebelum sempat didaratkan. Aku cuma memancing lebih kurang dalam 45 minit sahaja.

Ramai juga kawan-kawan bertanya, macam mana cara nak menggayakan Skitterpop ini. Susah aku nak ceritakan macam mana. Aku cuma boleh bagi tau, gayakan dengan aksi pop perlahan.

Kalau tak aral melintang, aku akan cuba hasilkan video casting pula lepas ini. Harap-harapnya segalanya berjalan dengan lancar. Bukannya apa, kadang-kadang tu, bila tak bawa kamera, banyak dapat, tapi bila bawa kamera, kumpau pulak jadinya. Hahaha...

Sekian terima kasih dan salam strike.

Isnin, 24 November 2014

Sejarah Aktiviti Memancing di Jepun

Satu dokumentari yang sangat menarik mengenai aktiviti memancing di Jepun. Dalam dokumentari ini ia bercerita tentang betapa orang Jepun sangat suka memancing dan ketelitian orang Jepun dalam menghasilkan pelbagai jenis alat-alat memancing.


Jumaat, 15 Ogos 2014

Lama menyepi dan akan kembali aktif

Assalamualaikum dan Salam Sejantera,

Boleh dikatakan agak lama aku menyepi. Bukannya tak pergi memancing langsung, ada juga pergi memancing sekali sekala dan ada juga dapat ikan cuma aku tak update dalam blog aku ni. Semuanya gara-gara sibuk dengan kerja harian.

Buat masa sekarang aku tengah sibuk nak jual semua peralatan memancing aku. Bukannya aku dah nak berhenti memancing, akan tetapi dalam proses mencari kepuasan yang sebenarnya. Bermula dari post ini, aku ingin bermula semula dengan buku catatan yang baru.

Sekarang aku sedang dalam proses mendapat set BC yang murah. Tiba-tiba sahaja datang satu perasaan rindu memancing menggunakan BC. Aku tak tau la sama ada masih boleh buat balingan atau tidak.

Antara salah satu tujuan atau sebab aku kembali menggunakan BC ialah aku sedang dalam proses nak belajar servis sendiri BC aku. Sebelum ni bukannya tak pernah pakai, tapi selalu tu aku hantar kedai untuk servis. Bukan setakat itu sahaja, aku juga mendapati pengguna BC lebih seronok untuk ber'casting' berbanding penggunaan Spinning.

Berkenaan dengan Fly Fishing pula, aku bukannya berhenti terus dari bermain Fly, akan tetapi keadaan aku yang tidak mengizinkan untuk terus bermain Fly. Aku mahu tumpukan lebih perhatian aku pada keluarga. Memang betul ada orang kata, kalau nak tumpu perhatian pada keluarga, tak semestinya kena berhenti. Ini jawapannya, lain orang, lain masalah. Keadaan kita semua berbeza. Fly Fishing bukan sekadar memancing bagi aku. Tumpuannya bukan sekadar pada aktiviti memancing sahaja, tapi juga pada penghasilan umpan Fly. Bahagian yang inilah menjadi satu masalah pada aku buat masa sekarang. Aku tak nak rosakkan keseronokan bermain Fly dengan membuatnya sambil lewa. Kalau aku nak buat, aku akan buat betul-betul, baru la puas hati.

Oleh kerana hobi aku memancing, aku tak boleh terus ego. Hanya kerana aku tak dapat nak main Fly, masih ada banyak lagi lapangan memancing yang lain. Buat masa sekarang aku memilih untuk bermain BC terlebih dahulu atau lebih tepat 'casting'. Satu lapangan memancing yang agak senang dan cepat dalam proses penyediaannya. Lagi pun, selepas ini, aku mungkin tak ada banyak masa untuk memancing, atas sebab ini juga aku memilih BC.

Gambar dibawah sekadar hiasan... Hehehe...





Terima kasih, Salam Strike!!!

Isnin, 16 Jun 2014

Haruan Titi Mukim

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Didahulukan dengan mohon maaf kerana agak lama tak mengemaskini 'blog' aku ni. Ekoran terlalu sibuk dengan rutin harian membuatkan aku kekurangan masa untuk diluangkan di sini.

Kali ini ialah cerita mengenaikan 'frenzy' haruan yang berlaku di tali air sekitar Titi Mukim iaitu salah satu kawasan yang berhampiran dengan rumah aku. Tak la dekat sangat, tempat ni terletak di sekitar Teluk Air Tawar, Kepala Batas.

Kejadian 'frenzy' ini hanya berlaku dalam masa yang agak singkat. Aku cuma sempat menikmatinya dalam masa seminggu sahaja. Kejadian ini berlaku sekitar bulan Febuari 2014.


Gambar di atas adalah sedikit gambaran mengenai persekitaran tali air tersebut. Sebenarnya tali air ini agak panjang. Aku terlupa untuk ambil gambar yang lebih banyak mengenai lokasi ini.

Untuk peringkat awalnya, sebelum aku dapat tahu yang jumlah haruan yang sangat banyak mendiami tali air ini, aku ada turun dengan menggunakan Rapala Skitter Pop 5 cm Lime Frog. Tapi agak malang, pada hari pertama tak ada seekor ikan pun yang berjaya dinaikkan walau pun ada menerima beberapa 'strike' daripada haruan 'curut'.

Keesokkan harinya, aku mencuba lagi. Setelah beberapa kali 'cast', tiba-tiba aku menerima satu sambaran berat. Kebetulan pula aku cuma mengguna rod yang aku beli untuk memancing udang iaitu kekili Pioneer Shrimp 1000 Siries yang dipadankan dengan Rod Figo 4-10lb 5' 6". Tali utama yang aku gunakan pula hanyalah tali tangsi cap ayam berkekuatan 10lbs.

Satu henjutan padu membuatkan drag kekili terbuka terus dan aku agak haruan tersebut sudah pun menjunam ke dalam lumpur dasar tali air. Susah payah aku menarik keluar haruan tersebut, akhirnya dengan berhati-hati berjaya juga aku naikkan haruan tersebut.




Yes! Akhirnya seekor haruan yang bersaiz agak besar berjaya dinaikkan merangkap rekod peribadi aku iaitu haruan seberat 850g. setelah berpuas hati, aku terus pulang.

Seminggu selepas itu, aku pergi lagi dan masih menggunakan Skitter Pop yang sama tapi agak malang kerana tiada haruan berjaya dinaikkan. Hanya beberapa 'strike' yang culas. Aku juga perasan, semakin ramai yang mula memancing di lokasi ini. Majoriti daripada mereka adalah pengguna katak hidup tegar.

Apabila aku perhatikan rata-rata pemancing yang hadir menaikkan banyak haruan bersaiz curut, aku mula ubah stratergi. Kali ini aku memilih untuk menggunakan SP (Soft Plastic).

Berikut ialah SP yang aku gunakan dalam misi menjerat haruan yang menggila di sini;





Boleh dikatakan, hampir setiap hari aku meluangkan masa di sini lebih kurang sejam setiap pagi selama 5 hari berturut-turut, pengguna SP di atas sememangnya sangat menjadi-jadi. Tapi kebanyakkan haruan yang berjaya ditarik naik hanyalah yang bersaiz 'baby'.












Boleh dikatakan terlalu banyak haruan yang bersaiz 'baby' berjaya dinaikan. Oleh kerana majoriti pemancing di sini ialah kaki 'tapau', semakin hari, jumlah tangkapan semakin berkurang.

Masuk hari ke lima, aku mula merasa bosan, jangankan nak naikkan ikan, nak merasa 'strike' pun dah semakin susah. Tapi akhirnya, untuk yang penghabisan, dengan menggunakan Berkley Ripple Shad 3" Rainbow Trout, berjaya jugak aku naikkan seekor haruan yang bersaiz agak besar sebagai penutup.



Hampir sama jalan cerita dengan haruan pertama yang aku berjaya naikkan dengan menggunakan Skitter Pop. Selepas membuat sambaran berat, haruan ini terus menjunam ke dasar ke dalam lumpur. Susah payah jugak aku dibuatnya sehinggakan jari terluka ketika cuba menaikkan haruan ini ke atas tebing. Haruan yang seberat 720g ini merupakan penutup untuk episod Haruan Titi Mukim pada kali ini.

Walau pun agak kecewa dengan sikap kebanyakkan pemancing yang menapau haruan bersaiz 'baby', tapi aku tetap puas kerana berjaya mencipta rekod peribadi aku dalam kategori Haruan.

Sekian, terima kasih! Salam Strike!!!

Rabu, 29 Januari 2014

Lesen casting belukang pembuka tirai 2014

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Mohon maaf kerana terlambat mengucapkan 'Selamat Tahun Baru 2014' ekoran terlalu sibuk dengan pelbagai urusan terutamanya perkara yang melibatkan persekolahan anak.

Untuk tahun 2014 ini, satu perubahan yang besar dalam kamus memancing aku. Satu rombakan secara besar-besaran sedang berlaku. Untuk buat sementara waktu, aktiviti pancing layang dan 'casting' menggunakan 'BC' juga dihentikan buat sementara waktu.

Bermula tahun ini juga, aku mula membuat pengumpulan gewang-gewang daripada jenama Rapala sahaja.

Berbalik kepada cerita 'casting', pada awal tahun ni iaitu awal bulan Januari aku mula ketandusan idea ikan apa yang aku nak pancing. Pada mulanya, aku cuba 'renew' lesen haruan, tapi agak malang, setiap sambaran yang aku dapat, semuanya terlucut. Nasib sememangnya tak menyebelahi aku.


Aku mula beralih arah. Teringatkan satu 'port' belukang yang agak popular di sekitar taman tempat aku tinggal iaitu Taman Penaga, K. Batas. Aku mencuba nasib mencari lesen belukang. Lagi pun, sememangnya aku belum pernah menaikkan belukang dengan mengunakan gewang.


Bercerita mengenai gewang yang sesuai untuk mensasarkan belukang, sudah tentulah gewang dari jenis 'crankbait' selaman dalam. Aku mula teringat yang aku masih ada satu gewang yang memenuhi profil itu tadi iaitu Strike Pro Crankbait Deep Diving Red Head. Gewang ni boleh dikatakan antara gewang yang mula-mula aku beli semasa aku mula menjinakkan diri aku dalam bidang 'casting' ini. Rasanya sudah lebih 10 tahun gewang ini berada di dalam 'tackle box' aku. Suatu ketika dahulu, gewang ini pernah menjadi 'killer' toman di Empangan Batu Ulu Yam. Rasanya sudah berpuluh ekor aku berjaya naikkan toman di situ menggunakan gewang ini.

Teknik yang aku gunakan dikenali sebagai teknik 'Sondol Tanah'. Dengan sengaja aku menggunakan gewang selaman dalam di air yang cetek supaya aksi 'Sondol Tanah' dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Dengan cara ini, gewang akan menyondol tanah sambil tertonggeng dan secara tidak langsung mengurangkan risiko terlekat di dasar kerana 'hook' berada di atas bukannya melerek di bawah.



Pada mulanya, aku agak tidak yakin, tapi teruskan juga niat aku untuk mencari lesen belukang. Pada hari pertama, dengan tak disangka-sangka, aku berjaya menaikkan 2 ekor belukang. Satu perasaan yang sukar hendak aku gambarkan. Tarikkan belukang tak laju sangat, tapi berat dan boleh tahan kuat dan tak mudah mengaku kalah. Walau pun sudah didaratkan, belukang tersebut masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti bergerak. Sampaikan aku nak ambil gambar pun susah.





Keesokkannya, aku mencuba lagi. Kali ini aku mencuba pula dengan set BC. Akan tetapi, set BC ini sudah pun aku jual kepada sahabat yang baru-baru nak belajar guna BC. Nasib aku kali ini lebih baik, aku berjaya lagi menaikkan 4 ekor belukang dalam masa 30 minit sahaja. Tambahan pula melayan dengan Rod Kyoto Nemesis 6-12lbs, sememangnya lawan yang sesuai untuk belukang. Aku boleh rasa setiap gedikkan ikan semasa bertarung dengan menggunakan rod ini.

Akan tetapi, beberapa hari selepas itu, aku kehilangan gewang 'killer' belukang aku semasa memancing di pantai Merdeka ekoran terlupa nak tutup 'snap'. Kemudian aku cuba lagi dengan menggunakan gewang lain, tetapi sejak hari itu, tak ada lagi belukang yang berjaya dibawa naik. Satu soalan mula bermain di fikiran aku, adakah belukang di sini lebih gemarkan 'Red Head'?

Akhir kata, sekian, Assalamualakum, Salam Sejahtera dan Salam Strike.