Jumaat, 15 Ogos 2014

Lama menyepi dan akan kembali aktif

Assalamualaikum dan Salam Sejantera,

Boleh dikatakan agak lama aku menyepi. Bukannya tak pergi memancing langsung, ada juga pergi memancing sekali sekala dan ada juga dapat ikan cuma aku tak update dalam blog aku ni. Semuanya gara-gara sibuk dengan kerja harian.

Buat masa sekarang aku tengah sibuk nak jual semua peralatan memancing aku. Bukannya aku dah nak berhenti memancing, akan tetapi dalam proses mencari kepuasan yang sebenarnya. Bermula dari post ini, aku ingin bermula semula dengan buku catatan yang baru.

Sekarang aku sedang dalam proses mendapat set BC yang murah. Tiba-tiba sahaja datang satu perasaan rindu memancing menggunakan BC. Aku tak tau la sama ada masih boleh buat balingan atau tidak.

Antara salah satu tujuan atau sebab aku kembali menggunakan BC ialah aku sedang dalam proses nak belajar servis sendiri BC aku. Sebelum ni bukannya tak pernah pakai, tapi selalu tu aku hantar kedai untuk servis. Bukan setakat itu sahaja, aku juga mendapati pengguna BC lebih seronok untuk ber'casting' berbanding penggunaan Spinning.

Berkenaan dengan Fly Fishing pula, aku bukannya berhenti terus dari bermain Fly, akan tetapi keadaan aku yang tidak mengizinkan untuk terus bermain Fly. Aku mahu tumpukan lebih perhatian aku pada keluarga. Memang betul ada orang kata, kalau nak tumpu perhatian pada keluarga, tak semestinya kena berhenti. Ini jawapannya, lain orang, lain masalah. Keadaan kita semua berbeza. Fly Fishing bukan sekadar memancing bagi aku. Tumpuannya bukan sekadar pada aktiviti memancing sahaja, tapi juga pada penghasilan umpan Fly. Bahagian yang inilah menjadi satu masalah pada aku buat masa sekarang. Aku tak nak rosakkan keseronokan bermain Fly dengan membuatnya sambil lewa. Kalau aku nak buat, aku akan buat betul-betul, baru la puas hati.

Oleh kerana hobi aku memancing, aku tak boleh terus ego. Hanya kerana aku tak dapat nak main Fly, masih ada banyak lagi lapangan memancing yang lain. Buat masa sekarang aku memilih untuk bermain BC terlebih dahulu atau lebih tepat 'casting'. Satu lapangan memancing yang agak senang dan cepat dalam proses penyediaannya. Lagi pun, selepas ini, aku mungkin tak ada banyak masa untuk memancing, atas sebab ini juga aku memilih BC.

Gambar dibawah sekadar hiasan... Hehehe...





Terima kasih, Salam Strike!!!

Isnin, 16 Jun 2014

Haruan Titi Mukim

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Didahulukan dengan mohon maaf kerana agak lama tak mengemaskini 'blog' aku ni. Ekoran terlalu sibuk dengan rutin harian membuatkan aku kekurangan masa untuk diluangkan di sini.

Kali ini ialah cerita mengenaikan 'frenzy' haruan yang berlaku di tali air sekitar Titi Mukim iaitu salah satu kawasan yang berhampiran dengan rumah aku. Tak la dekat sangat, tempat ni terletak di sekitar Teluk Air Tawar, Kepala Batas.

Kejadian 'frenzy' ini hanya berlaku dalam masa yang agak singkat. Aku cuma sempat menikmatinya dalam masa seminggu sahaja. Kejadian ini berlaku sekitar bulan Febuari 2014.


Gambar di atas adalah sedikit gambaran mengenai persekitaran tali air tersebut. Sebenarnya tali air ini agak panjang. Aku terlupa untuk ambil gambar yang lebih banyak mengenai lokasi ini.

Untuk peringkat awalnya, sebelum aku dapat tahu yang jumlah haruan yang sangat banyak mendiami tali air ini, aku ada turun dengan menggunakan Rapala Skitter Pop 5 cm Lime Frog. Tapi agak malang, pada hari pertama tak ada seekor ikan pun yang berjaya dinaikkan walau pun ada menerima beberapa 'strike' daripada haruan 'curut'.

Keesokkan harinya, aku mencuba lagi. Setelah beberapa kali 'cast', tiba-tiba aku menerima satu sambaran berat. Kebetulan pula aku cuma mengguna rod yang aku beli untuk memancing udang iaitu kekili Pioneer Shrimp 1000 Siries yang dipadankan dengan Rod Figo 4-10lb 5' 6". Tali utama yang aku gunakan pula hanyalah tali tangsi cap ayam berkekuatan 10lbs.

Satu henjutan padu membuatkan drag kekili terbuka terus dan aku agak haruan tersebut sudah pun menjunam ke dalam lumpur dasar tali air. Susah payah aku menarik keluar haruan tersebut, akhirnya dengan berhati-hati berjaya juga aku naikkan haruan tersebut.




Yes! Akhirnya seekor haruan yang bersaiz agak besar berjaya dinaikkan merangkap rekod peribadi aku iaitu haruan seberat 850g. setelah berpuas hati, aku terus pulang.

Seminggu selepas itu, aku pergi lagi dan masih menggunakan Skitter Pop yang sama tapi agak malang kerana tiada haruan berjaya dinaikkan. Hanya beberapa 'strike' yang culas. Aku juga perasan, semakin ramai yang mula memancing di lokasi ini. Majoriti daripada mereka adalah pengguna katak hidup tegar.

Apabila aku perhatikan rata-rata pemancing yang hadir menaikkan banyak haruan bersaiz curut, aku mula ubah stratergi. Kali ini aku memilih untuk menggunakan SP (Soft Plastic).

Berikut ialah SP yang aku gunakan dalam misi menjerat haruan yang menggila di sini;





Boleh dikatakan, hampir setiap hari aku meluangkan masa di sini lebih kurang sejam setiap pagi selama 5 hari berturut-turut, pengguna SP di atas sememangnya sangat menjadi-jadi. Tapi kebanyakkan haruan yang berjaya ditarik naik hanyalah yang bersaiz 'baby'.












Boleh dikatakan terlalu banyak haruan yang bersaiz 'baby' berjaya dinaikan. Oleh kerana majoriti pemancing di sini ialah kaki 'tapau', semakin hari, jumlah tangkapan semakin berkurang.

Masuk hari ke lima, aku mula merasa bosan, jangankan nak naikkan ikan, nak merasa 'strike' pun dah semakin susah. Tapi akhirnya, untuk yang penghabisan, dengan menggunakan Berkley Ripple Shad 3" Rainbow Trout, berjaya jugak aku naikkan seekor haruan yang bersaiz agak besar sebagai penutup.



Hampir sama jalan cerita dengan haruan pertama yang aku berjaya naikkan dengan menggunakan Skitter Pop. Selepas membuat sambaran berat, haruan ini terus menjunam ke dasar ke dalam lumpur. Susah payah jugak aku dibuatnya sehinggakan jari terluka ketika cuba menaikkan haruan ini ke atas tebing. Haruan yang seberat 720g ini merupakan penutup untuk episod Haruan Titi Mukim pada kali ini.

Walau pun agak kecewa dengan sikap kebanyakkan pemancing yang menapau haruan bersaiz 'baby', tapi aku tetap puas kerana berjaya mencipta rekod peribadi aku dalam kategori Haruan.

Sekian, terima kasih! Salam Strike!!!

Rabu, 29 Januari 2014

Lesen casting belukang pembuka tirai 2014

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Mohon maaf kerana terlambat mengucapkan 'Selamat Tahun Baru 2014' ekoran terlalu sibuk dengan pelbagai urusan terutamanya perkara yang melibatkan persekolahan anak.

Untuk tahun 2014 ini, satu perubahan yang besar dalam kamus memancing aku. Satu rombakan secara besar-besaran sedang berlaku. Untuk buat sementara waktu, aktiviti pancing layang dan 'casting' menggunakan 'BC' juga dihentikan buat sementara waktu.

Bermula tahun ini juga, aku mula membuat pengumpulan gewang-gewang daripada jenama Rapala sahaja.

Berbalik kepada cerita 'casting', pada awal tahun ni iaitu awal bulan Januari aku mula ketandusan idea ikan apa yang aku nak pancing. Pada mulanya, aku cuba 'renew' lesen haruan, tapi agak malang, setiap sambaran yang aku dapat, semuanya terlucut. Nasib sememangnya tak menyebelahi aku.


Aku mula beralih arah. Teringatkan satu 'port' belukang yang agak popular di sekitar taman tempat aku tinggal iaitu Taman Penaga, K. Batas. Aku mencuba nasib mencari lesen belukang. Lagi pun, sememangnya aku belum pernah menaikkan belukang dengan mengunakan gewang.


Bercerita mengenai gewang yang sesuai untuk mensasarkan belukang, sudah tentulah gewang dari jenis 'crankbait' selaman dalam. Aku mula teringat yang aku masih ada satu gewang yang memenuhi profil itu tadi iaitu Strike Pro Crankbait Deep Diving Red Head. Gewang ni boleh dikatakan antara gewang yang mula-mula aku beli semasa aku mula menjinakkan diri aku dalam bidang 'casting' ini. Rasanya sudah lebih 10 tahun gewang ini berada di dalam 'tackle box' aku. Suatu ketika dahulu, gewang ini pernah menjadi 'killer' toman di Empangan Batu Ulu Yam. Rasanya sudah berpuluh ekor aku berjaya naikkan toman di situ menggunakan gewang ini.

Teknik yang aku gunakan dikenali sebagai teknik 'Sondol Tanah'. Dengan sengaja aku menggunakan gewang selaman dalam di air yang cetek supaya aksi 'Sondol Tanah' dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Dengan cara ini, gewang akan menyondol tanah sambil tertonggeng dan secara tidak langsung mengurangkan risiko terlekat di dasar kerana 'hook' berada di atas bukannya melerek di bawah.



Pada mulanya, aku agak tidak yakin, tapi teruskan juga niat aku untuk mencari lesen belukang. Pada hari pertama, dengan tak disangka-sangka, aku berjaya menaikkan 2 ekor belukang. Satu perasaan yang sukar hendak aku gambarkan. Tarikkan belukang tak laju sangat, tapi berat dan boleh tahan kuat dan tak mudah mengaku kalah. Walau pun sudah didaratkan, belukang tersebut masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti bergerak. Sampaikan aku nak ambil gambar pun susah.





Keesokkannya, aku mencuba lagi. Kali ini aku mencuba pula dengan set BC. Akan tetapi, set BC ini sudah pun aku jual kepada sahabat yang baru-baru nak belajar guna BC. Nasib aku kali ini lebih baik, aku berjaya lagi menaikkan 4 ekor belukang dalam masa 30 minit sahaja. Tambahan pula melayan dengan Rod Kyoto Nemesis 6-12lbs, sememangnya lawan yang sesuai untuk belukang. Aku boleh rasa setiap gedikkan ikan semasa bertarung dengan menggunakan rod ini.

Akan tetapi, beberapa hari selepas itu, aku kehilangan gewang 'killer' belukang aku semasa memancing di pantai Merdeka ekoran terlupa nak tutup 'snap'. Kemudian aku cuba lagi dengan menggunakan gewang lain, tetapi sejak hari itu, tak ada lagi belukang yang berjaya dibawa naik. Satu soalan mula bermain di fikiran aku, adakah belukang di sini lebih gemarkan 'Red Head'?

Akhir kata, sekian, Assalamualakum, Salam Sejahtera dan Salam Strike.

Selasa, 3 Disember 2013

Lepas gian layan Haruan dengan Jump Frog.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Didahulukan dengan maaf kerana agak lama menyepikan diri dari mengemaskini blog aku ini. Boleh dikatakan agak lama aku tak turun casting. Sejak kebelakangan aku ada turun casting sekali sekala dalam masa yang singkat. Lebih ke arah melepaskan gian sahaja.

Boleh dikatakan agak lama juga aku perhatikan port ini. Setiap kali balik kerja melalui Jambatan Pulau Pinang, mata aku tak pernah terlepas untuk menjeling lokasi ini. Lokasi ini terletak berhampiran dengan tol Jambatan Pulau Pinang. Mungkin ramai yang tak perasaan ada satu tali air di sini kerana ianya agak terlindung.

Dua hari yang lepas aku sempat singgah seketika di sini sekadar ingin mencuba nasib. seperti biasa, Jump Frog sentiasa menjadi pilihan utama aku setiap kali berkunjung ke port baru. Baru 2-3 kali membuat balingan, aku dikejutkan denga kelibat ikan keli afrika yang bersaiz mega menyusuri tali air kecil ini. Lebih kurang dalam 2-3 ekor juga rasanya. Aku cuba memujuk keli tersebut dengan menggunakan Soft Plastic, tapi ia langsung tak layan. Kemudian rasa macam putus asa sahaja, aku kembali fokus kepada pancingan Haruan.

Jump Frog sememangnya tidak mengecewakan aku. Satu sambaran yang padat sehinggakan kesemua Jump Frog 5cm aku habis ditelan oleh seekor haruan yang bersaiz agak besar iaitu seberat 570g. Boleh dinobatkan Haruan terbesar yang berjaya dipancing oleh aku untuk tahun 2013 ini.

Aku mencuba lagi dan mendapat 2 lagi sambaran akan tetapi belum sempat ditarik naik atas, Haruan tersebut berjaya melepaskan diri. Tak pasti sama ada besar atau kecil.

Semasa aku sedang berkira-kira untuk pulang, seekor lagi haruan menyambar Jump frog aku. Saiznya lebih kurang sama dengan yang pertama tadi. Berat tangkapan yang kedua ini ialah dalam 470g.

Hari sudah pun semakin gelap sebaik sahaja aku berjaya menaikkan haruan yang kedua. Tak cakap banyak aku terus berkemas dan pulang ke rumah. Terus terang aku katakan di sini, trip solo dan ringkas kali ini sememangnya sangat memuaskan hati aku. Berpeluh-peluh juga aku dibuatnya ke hulu dan hilir mencuba nasib di segenap penjuru.

Apa-apa pun, terima kasih dan salam strike!

Jumaat, 16 Ogos 2013

Layan SP sekadar pengubat kumpau Raya

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Strike,

Sekali lagi, Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Seperti biasa, balik kampung selalu tu aku selalu pergi memancing. Tapi, raya kali ni, aku terlalu sibuk. Tak sempat nak memancing. Dapat memancing sekejap-sekejap jer. Itu pun tak dapat ikan. Kumpau.

 


Sampai sahaja di Penang, seperti biasa, aku pergi ke port kegemaran aku iaitu port belakang kandang kambing.


Pagi semalam pun aku ada turun di sini. Banyak juga strike yang aku dapat dari Haruan dan Tarpon. Haruan ada seekor yang saiz remaja, tapi terlepas. Sempat tarik sampai tepi, tapi tak sempat nak tarik naik atas. 2 ekor Tarpon berjaya tarik. Seekor kecik, dan seekor lagi kat dalam gambar kat atas tu, boleh tahan besar jugak.






Pagi ni aku turun lagi sekali. Masih lagi menggunakan SP yang sama iaitu Berkley Ripple Shah Firetiger 2". Tapi pagi ni agak malang. Walaupun agak banyak strike yang aku dapat dari Tarpon, tapi tak ada satu pun yang betul-betul melekat.





Kemudian aku rasa bosan la pulak sebab asyik terlepas jer. Aku tukar SP. Kali ni aku pakai SP Storm Grub 2" kaler putih. Dan buruk dah SP nih, ekornya dan hampir putus dan badannya dah hampir hancur lunyai. Ini la satu-satunya SP spesis grub yang aku ada buat masa sekarang.

 

Walaupun SP tu dah buruk, tapi ada jugak yang sudi nak menyambar. Seperti biasa, seekor haruan yang bersaiz remaja berjaya dinaikkan.  Walau pun kecik, tapi mencirit-cirit jugak set spinning light aku dibuatnya.

Aku rasa cukup la setakat tu, lepas jer dapat haruan ni, aku terus simpan joran dan balik rumah.

Sekian, Salam Strike.

Isnin, 29 Julai 2013

SP udang cap bakau... Terbaik!!!

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Strike.

Tak lama lagi kita akan berhari raya dan seperti biasa, setiap kali raya menjelma, aku akan pulang ke kampung aku dan seperti biasa juga terjadilah beberapa komplot memancing tanpa dirancang bersama biras-biras, ipar-ipar dan juga sahabat-sahabat di kampung.

Tengah hari tadi, aku keluar sekejap ke klinik gigi untuk membuat tampalan baru pada gigi aku yang sedang berlubang kerana tampalan lama dah tercabut. Tampal gigi ni bukannya murah, terpaksa tunggu gaji masuk dulu, baru boleh buat.

Setelah selesai, dalam perjalan pulang ke pejabat, hujan mula turun renyai-renyai dan kebetulan pula berhampiran dengan TCE Tackle. Apa lagi, singgah dulu sementara menunngu hujan reda.


Masuk sahaja ke dalam kedai, produk yang paling mengejutkan aku ialah Soft Plastic udang cap Bakau. Perghhhh!!!! itulah ayat pertama yang terkeluar kat mulut aku. Ada 2 saiz, iaitu kecil dan besar. Gambar kat atas tu, lebih kurang dalam 5cm kalau tak silap aku iaitu yang kecil. Yang besar lebih kurang 7-8cm.

Bagi aku, memang cantik, terutamanya warna firetiger yang aku beli ni. Setakat yang aku tengok dalam kedai tadi, ada 3 warna sahaja. Mungkin lain kali aku beli warna-warna yang lain.


Seperti selalu, setiap kali pulang ke kampung, target utama ialah ikan siakap dan MJ (siakap merah). Aku beli 2 biji lagi minnow Strike Pro. Lagi pun, stok minnow aku tak banyak sebab semasa di Penang, aku lebih banyak layan haruan dan tarpon. Nak tahu menjadi ke tidak, kena la tunggu lepas raya nanti.

Apa-apa pun, aku nak mengambil kesempatan ini mengucapkan 'SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN' kepada semua.

Sekian, Salam Strike!


Khamis, 18 Julai 2013

Haruan Pertama Bulan Ramadhan

Assalamualaikum, Salam Sejahtera & Salam Strike.

Rasa-rasanya masih belum terlambat untuk mengucap 'Selamat Berpuasa' khasnya untuk mereka yang beragama Islam.

Aku tak tahu macam mana nak mulakan benda ni. Boleh dikatakan agak lama juga la aku kumpau haruan.


Seperti biasa, aku pergi ke port kegemaran aku iaitu port 'Belakang Kandang Kambing'. Aku pun tak tahu kenapa sejak akhir-akhir ni, haruan-haruan disini kurang galak menyambar gewang. Boleh dikatakan, banyak kali jugak aku kumpau sejak akhir-akhir ni. Bukannya tak ada ikan kat sini, ada dan banyak terutamanya yang bersaiz curut.

Keadaan air sangat cantik hari ini, cetek dan jernih. Haruan jelas kelihatan sana sini menimbul sekali sekali ambil udara dipermukaan. Memang banyak berkumpul di sini. Tapi tak kira la banyak mana pun berkumpul di sini, setiap kali kejadian air surut ni berlaku, setiap kali tu la nafsu menyambar mereka jadi berkurang. Aku sendiri pun masih tak faham sampai sekarang.


Melihat banyaknya si curut bermain sana sini, gewang yang pertama sekali terlintas kat kepala aku ialah micro spoon cap bakau ni. Tapi aku tak tahu kenapa, kebanyakkannya cuma ikut jer gewang tu. Tak strike pun.


Kemudian aku teringat pulak pasal jump frog. Lama sungguh rasanya tak layan jump frog. Aku pun cuba baling jump frog pulak.

Tangkapan Pertama : Haruan
Berat : 200g
Panjang : 26cm

Akhirnya, ada juga seekor haruan curut yang sudi. Senang cakap, berjaya juga la akhirnya. Tapi kes haruan malas nak menyambar masih lagi menjadi tanda tanya.





Alang-alang dah dapat seekor, aku rasa bolehlah aku mencuba gewang yang aku baru beli semalam. Gewang budak gemuk cap bakau. Aku tak tau kenapa, bila aku tengok jer gewang ni, aku yakin sangat yang haruan akan makan gewang ni. Tapi silap sikit jer, besar sangat, 6cm. Aku cuba cari yang lagi kecil tapi tak jumpa. Tapi tak kisah la, aku beli la dulu yang ini, lagi pun gewang cap bakau nih murah jer.

Setelah beberapa kali baling, akhirnya ada jugak haruan curut yang sudi strike. Tapi sayang, aku sempat karau separuh jalan jer. Terlepas la pulak. Aku cuba lagi. Banyak jugak la aku dapat strike dari yang curut-curut.  Tapi tak lekat. Rasa seolah-olah ikan tu cuma patuk-patuk jer gewang nih.

Jadi aku rasa, cukuplah setakat tu, dah terbukti memang gewang ni menjadi untuk haruan. Tapi aku rasa, aku nak ubahsuai sikit untuk gewang untuk masa yang akan datang. Satu perkara yang aku perasan, saiz hook terlalu kecik, macam tak padan pulak dengan kegemukkan gewang nih. Mungkin kena tukar hook yang besar sikit dan tambah bulu ayam.

Sekian, Terima Kasih dan Salam Strike.